Khamis, 16 Mei 2024 | 9:04pm
Gambar fail. - NSTP/HAZREEN MOHAMAD
Gambar fail. - NSTP/HAZREEN MOHAMAD

Bursa Malaysia di paras tertinggi dua tahun

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup rendah sedikit daripada paras harian tertingginya hari ini berikutan harapan baharu kepada kemungkinan dua penurunan kadar faedah di Amerika Syarikat (AS) pada tahun ini.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meraih 7.88 mata kepada 1,611.11 berbanding 1,603.23 semasa ditutup semalam, menandakan paras tertingginya sejak Mac 2022.

Indeks barometer meningkat 1.15 mata kepada 1,604.38 dan mencapai paras tertinggi 1,611.57 pada sesi tengah hari.

Kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 720 berbanding 492, dengan 456 kaunter tidak berubah, 700 tidak diniagakan dan 10 yang lain digantung dagangan.

Bagaimanapun, jumlah dagangan merosot kepada 6.04 bilion unit bernilai RM4.35 bilion daripada 6.20 bilion unit bernilai RM4.69 bilion pada Rabu.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata belian saham pada harga rendah turut menyumbang kepada aliran meningkat hari ini berikutan beberapa sesi mod konsolidasi.

"Kami kekal positif mengenai pemulihan sentimen pasaran global.

"Selain itu, kami menjangkakan momentum optimis ini akan memacu indeks petunjuk pasaran kepada paras rintangan seterusnya iaitu 1,615," katanya kepada Bernama.

Oleh itu, FBM KLCI dijangka bergerak dalam jajaran 1,605-1,620 menjelang akhir minggu ini, dengan paras rintangan segera pada 1,615 diikuti dengan 1,635, dan sokongan pada 1,600 diikuti 1,585.

Prestasi domestik adalah seiring dengan pasaran saham AS, yang mencatat paras tertinggi baharu berikutan bacaan Indeks Harga Pengguna (IHP) yang lebih rendah berbanding jangkaan.

Selain itu, pelabur turut menyambut baik langkah Beijing untuk melaksanakan dasar bagi menyokong pembelian rumah tidak terjual daripada pemaju bermasalah.

Di dalam negara pula, pelabur akan memantau dengan teliti Keluaran Dalam Negara Kasar suku pertama yang diumumkan esok, dengan pasaran mengunjurkan pertumbuhan lebih tinggi berbanding jangkaan.

Baru-baru ini, Jabatan Perangkaan Malaysia meramalkan pertumbuhan sebanyak 3.9 peratus berdasarkan anggaran awal.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Tenaga Nasional naik 26 sen kepada RM12.66, manakala Public Bank, Maybank dan YTL Power masing-masing menokok empat sen kepada RM4.19, RM9.92 dan RM5.18.

Petronas Chemicals menambah sembilan sen kepada RM6.90 dan PPB naik 18 sen kepada RM15.48.

Bagi saham aktif, Top Glove susut enam sen kepada RM1.20, Revenue berkurangan 1.5 sen kepada 23 sen, MQ Technology turun setengah sen kepada 1.5 sen, Careplus rendah tiga sen kepada 35 sen, manakala Sin-Kung meningkat setengah sen kepada 14.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 51.05 mata kepada 12,235.74, Indeks FBMT 100 naik 49.09 mata kepada 11,841.61 dan Indeks FBM Syariah meraih 60.82 mata kepada 12,451.52.

Indeks FBM ACE menambah 11.09 mata kepada 5,296.78 dan Indeks FBM 70 meningkat 36.69 mata kepada 17,448.91.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meraih 83.96 mata kepada 17,593.64, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 1.07 mata kepada 193.47, Indeks Perladangan menokok 24.07 mata kepada 7,408.94, dan Indeks Tenaga naik 0.91 mata kepada 986.84.

Jumlah dagangan Pasaran Utama menyusut kepada 3.36 bilion unit bernilai RM3.81 bilion daripada 4.10 bilion unit bernilai RM4.25 bilion semalam.

Jumlah dagangan waran melonjak kepada 1.61 bilion unit bernilai RM250.16 juta daripada 720.47 juta unit bernilai RM88.20 juta semasa ditutup pada Rabu.

Jumlah dagangan Pasaran ACE menyusut kepada 1.08 bilion saham bernilai RM292.17 juta daripada 1.37 bilion saham bernilai RM331.67 juta sebelumnya.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 436.46 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (539.59 juta), pembinaan (178.83 juta), teknologi (702.78 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (133.29 juta), hartanah (327.60 juta), perladangan (26.63 juta), REIT (19.66 juta), dana tertutup (448,400), tenaga (181.92 juta), penjagaan kesihatan (622.09 juta), telekomunikasi dan media (25.54 juta), pengangkutan dan logistik (98.75 juta), utiliti (64.86 juta), dan amanah perniagaan (25,800). - BERNAMA

Berita Harian X