Khamis, 16 Mei 2024 | 1:01pm
Gambar fail. - NSTP/ASWADI ALIAS
Gambar fail. - NSTP/ASWADI ALIAS

Ringgit melonjak bawah 4.70, berlegar pada 4.68 berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR: Ringgit meningkat kepada 4.6800 berbanding dolar AS pada sesi pembukaan pada Khamis, paras kali terakhir dilihat dua bulan lepas, apabila data inflasi Amerika Syarikat (AS) yang lebih rendah daripada jangkaan memberikan harapan kepada penurunan kadar faedah AS yang lebih awal.

Pada 9 pagi, ringgit mengukuh kepada 4.6800/6850 berbanding dolar AS daripada 4.7050/7075 pada Rabu.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata mata wang tempatan boleh berada pada paras RM4.67 hingga RM4.68.

"Ringgit dijangka mencatatkan prestasi yang baik hari ini berikutan kadar inflasi AS diunjurkan lebih rendah, dengan data terkini menunjukkannya menurun kepada 3.4 peratus pada April daripada 3.5 peratus.

"Pasaran pertukaran asing dijangka memberi impak positif berikutan peluang kenaikan kadar adalah rendah dan terdapat kemajuan yang baik mengenai inflasi AS," katanya.

Pada sesi pembukaan, ringgit diniagakan rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia merosot berbanding yen Jepun kepada 3.0435/0470 daripada 3.0189/0207 semalam, susut berbanding pound kepada 5.9422/9485 daripada 5.9391/9423 pada Rabu dan berkurangan berbanding euro kepada 5.0970/1024 daripada 5.0941/0968 sebelum ini.

Ia diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN.

Mata wang tempatan diniagakan tinggi berbanding dolar Singapura kepada 3.4858/4898 daripada 3.4873/4894 pada Rabu dan merosot berbanding baht Thailand kepada 12.9128/9313 daripada 12.8735/8867 semalam.

Ia naik berbanding rupiah Indonesia kepada 291.9/292.4 daripada 293.5/293.8 sebelum ini dan meningkat berbanding peso Filipina kepada 8.16/8.17 daripada 8.17/8.19.

– Bernama

Berita Harian X