Rabu, 15 Mei 2024 | 11:36am
Kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 229 berbanding 141 - Gambar hiasan
Kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 229 berbanding 141 - Gambar hiasan

Bursa Malaysia dibuka rendah sebelum meningkat semula

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka rendah tetapi berubah arah dengan cepat, dengan pelabur kekal aktif dalam pasaran menjelang data Indeks Harga Pengguna (IHP) yang penting dari Amerika Syarikat (AS).

Pada 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 0.53 mata kepada 1,606.41 berbanding 1,605.88 semasa ditutup semalam.

Indeks barometer dibuka rendah 0.13 mata kepada 1,605.75.

Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 229 berbanding 141 manakala 327 kaunter tidak berubah, 1,671 tidak diniagakan dan 23 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 311.67 juta unit bernilai RM149.0 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng, berkata FBM KLCI mengekalkan kekuatannya melebihi paras 1,600, disokong oleh belian saham mewah yang berterusan.

"Hari ini, kami menjangka penyertaan dagangan akan sama dengan hari sebelumnya berikutan pelabur menunggu data IHP dari AS," katanya kepada Bernama.

Oleh itu, indeks dijangka berada dalam julat 1,600 hingga 1,610 sekali lagi, katanya.

Sementara itu, harga minyak mentah rendah, dengan minyak mentah Brent kini diniagakan pada AS$82 setong berikutan inventori AS yang meningkat.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank merosot dua sen kepada RM9.86, Public Bank kekal tidak berubah pada RM4.17, CIMB naik dua sen kepada RM6.81, TNB kekal pada RM12.44 manakala Petronas Chemicals merosot tiga sen kepada RM6.94.

Sin-Kung Logistics muncul sebagai kaunter paling aktif, naik setengah sen kepada 13.5 sen, diikuti Top Glove, yang menambah 11 sen kepada RM1.07. TWL kekal tidak berubah pada 2.5 sen dan Jaks Resources merosot setengah sen kepada 12.5 sen.

Sementara itu, bursa telah meluluskan permohonan MAHB untuk penggantungan dagangan semua sekuriti syarikat, berkuat kuasa dari 9 pagi hingga 5 petang hari ini, sementara menunggu pengumuman dibuat.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 27.37 mata kepada 12,164.50, Indeks FBMT 100 meningkat 27.27 mata kepada 11,768.44 dan Indeks FBM Emas Shariah menambah 29.44 mata kepada 12,361.78.

Indeks FBM 70 melonjak 135.32 mata kepada 17,183.56 manakala Indeks FBM ACE naik 10.09 mata kepada 5,334.50.

Mengikut sektor, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan naik 0.29 mata kepada 193.75 manakala Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 4.94 mata kepada 17,526.13, Indeks Perladangan susut 23.85 mata kepada 7,410.74 dan Indeks Tenaga berkurangan 0.37 mata kepada 985.50.

-BERNAMA

Berita Harian X