Rabu, 15 Mei 2024 | 11:12am
Ringgit mendapat sokongan yang baik berikutan kemungkinan kenaikan kadar AS agak tipis - Gambar hiasan
Ringgit mendapat sokongan yang baik berikutan kemungkinan kenaikan kadar AS agak tipis - Gambar hiasan

Ringgit terus meningkat, kembali ke paras RM4.70 sedolar AS

KUALA LUMPUR: Aliran meningkat ringgit berterusan, kembali kepada paras RM4.70 berikutan jaminan Rizab Persekutuan (Fed) mengenai kadar faedah yang membantu mengurangkan kebimbangan selepas data Indeks Harga Pengeluar (IHPR) AS yang lebih tinggi daripada jangkaan.

Pengerusi Fed, Jerome Powell, menyatakan langkah berkaitan kadar faedah yang seterusnya oleh bank pusat AS dijangka tidak mencatatkan kenaikan, menggambarkan bacaan sebagai lebih bercampur-campur berdasarkan data sebelumnya yang telah disemak lebih rendah.

Pada 9 pagi, ringgit mengukuh kepada 4.7070/7115 berbanding dolar AS daripada 4.7160/7190 pada Selasa.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata pasaran pertukaran asing dilihat tidak begitu terkesan dengan IHPR AS yang lebih tinggi daripada jangkaan, yang mencatatkan 0.5 peratus bulan ke bulan pada April berbanding anggaran konsensus sebanyak 0.3 peratus.

"Peserta pasaran memberi perhatian kepada kenyataan pengerusi Fed mengenai inflasi pada acara yang dianjurkan oleh Foreign Bankers' Association di Amsterdam.

"Beliau menekankan dasar monetari semasa adalah terhad oleh semua langkah dan trend disinflasi perlu berterusan dan bergerak ke arah matlamat 2.0 peratus," katanya kepada Bernama.

Sehubungan itu, Indeks Dolar AS (DXY) merosot 0.19 peratus kepada 105.017 mata manakala hasil Perbendaharaan AS dua tahun dan 10 tahun, masing-masing merosot 4.0 mata asas dan 3.0 mata asas kepada 4.81 peratus dan 4.45 peratus.

"Oleh itu, ringgit mungkin mendapat sokongan yang baik berikutan kemungkinan kenaikan kadar AS agak tipis," katanya.

Seterusnya, pasaran akan memantau Indeks Harga Pengguna (IHP) AS yang akan dikeluarkan malam ini dan data ekonomi Malaysia pada Jumaat.

Ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia naik berbanding yen Jepun kepada 3.0094/0125 daripada 3.0161/0182 pada Selasa, bagaimanapun merosot berbanding pound kepada 5.9252/9308 daripada 5.9158/9195 dan susut berbanding euro kepada 5.0916/0964 daripada 5.0900/0932 sebelum ini.

Mata wang tempatan turut diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN lain.

Ia naik berbanding dolar Singapura kepada 3.4818/4854 daripada 3.4848/4873 semalam dan meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 292.2/292.8 daripada 292.7/293.3.

Bagaimanapun, ia rendah berbanding baht Thailand kepada 12.8804/8973 daripada 12.8596/8730 dan merosot berbanding peso Filipina kepada 8.16/8.17 daripada 8.15/8.16 sebelum ini.

-BERNAMA

Berita Harian X