Selasa, 14 Mei 2024 | 6:56pm
Kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 592 berbanding 527 -NSTP/EIZAIRI SHAMSUDIN
Kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 592 berbanding 527 -NSTP/EIZAIRI SHAMSUDIN

Bursa Malaysia ditutup tinggi, minat pelabur meningkat

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup tinggi hari ini, didorong oleh peningkatan volum dagangan harian yang memperlihatkan peningkatan minat terhadap ekuiti Malaysia, khususnya daripada pembeli asing, kata peniaga.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menokok 2.97 mata kepada 1,605.88 berbanding 1,602.91 semasa ditutup semalam.

Indeks petunjuk pasaran dibuka 1.04 mata lebih rendah kepada 1,601.62 dan bergerak antara 1,601.44 dan 1,607.42 sepanjang sesi dagangan.

Di pasaran lebih luas, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 592 berbanding 527, dengan 520 kaunter tidak berubah, 706 tidak diniagakan dan sembilan yang lain digantung dagangan.

Jumlah dagangan meningkat kepada 4.69 bilion unit bernilai RM3.19 bilion daripada 4.53 bilion unit bernilai RM3.01 bilion pada Isnin.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng, berkata FBM KLCI terus meningkat berikutan pembelian asing yang berterusan, terutama dalam saham tenaga, telekomunikasi dan perladangan.

"Oleh itu, kami mengekalkan sasaran FBM KLCI mingguan kami antara 1,600 dan 1,620, dengan paras rintangan segera pada 1,615 dan sokongan pada 1,600, diikuti dengan 1,585," katanya kepada Bernama.

Bagi pasaran serantau, Pak Leng berkata indeks serantau utama menyaksikan perubahan kecil disebabkan pelabur memilih untuk kekal berhati-hati menjelang pengumuman data inflasi Amerika Syarikat (AS) minggu ini, yang dijangka mempengaruhi prospek kadar faedah AS dengan ketara.

Pengeluaran data itu dijadualkan pada Rabu, dengan jangkaan menunjukkan Indeks Harga Pengguna (IHP) teras yang perlahan daripada kadar tahunan 3.6 peratus pada April berbanding 3.8 peratus pada Mac.

Sementara itu, Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors, Mohd Sedek Jantan, berkata FBM KLCI ditutup tinggi sedikit hari ini di tengah-tengah minggu yang padat dengan pengumuman ekonomi manakala pelabur kekal berwaspada menjelang pengumuman data ekonomi utama, termasuk laporan Indeks Harga Pengeluar (IHPR) AS bagi April yang dijadualkan pada Selasa, diikuti dengan IHP.

"Selain itu, perhatian akan terarah kepada angka Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Bank Negara Malaysia (BNM) bagi suku pertama 2024 yang akan diumumkan pada Jumaat.

"Bagaimanapun, kami yakin suasana pasaran kekal teguh berikutan pengumpulan saham yang berterusan, disokong oleh pelaburan berprofil tinggi baru-baru ini yang diumumkan oleh syarikat multinasional, mengukuhkan kestabilan politik tempatan, dan pelancaran inisiatif pembaharuan ekonomi dan fiskal secara berperingkat untuk memudahkan pertumbuhan jangka panjang dan daya saing," katanya.

Mohd Sedek berkata, indeks itu dijangka dalam jajaran antara 1,600 dan 1,614 minggu ini, dengan sebarang penembusan had ini dijangka mendorong pergerakan selanjutnya.

"Paras sokongan kekal stabil pada 1,575 dan 1,560, manakala rintangan dijangka pada 1,614 dan 1,635," katanya.

Antara kaunter untung dalam saham wajaran tinggi menyaksikan YTL Corporation naik 13 sen kepada RM3.52, YTL Power menokok 12 sen kepada RM5.04 manakala Maybank meningkat satu sen kepada RM9.88. Bagaimanapun, Public Bank dan CIMB masing-masing berkurangan satu sen kepada RM4.17 dan RM6.79.

Bagi saham aktif, saham MMAG turun setengah sen kepada 37 sen, warannya rendah 2.5 sen kepada 13 sen, saham Farm Price yang mula disenaraikan di pasaran ACE melonjak 70.83 peratus kepada 41 sen berbanding harga pembukaan 24 sen, Pan Malaysia menambah empat sen kepada 32.5 sen manakala Sapura Energy tidak berubah pada 4.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas menambah 18.83 mata kepada 12,137.13, Indeks FBMT 100 meningkat 17.20 mata kepada 11,741.17 dan Indeks FBM Emas Syariah menokok 23.38 mata kepada 12,332.34.

Indeks FBM 70 meningkat 6.24 mata kepada 17,048.24 manakala Indeks FBM ACE menokok 56.92 mata kepada 5,324.41

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 24.56 mata untuk ditutup kepada 17,531.08 manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menambah 0.80 mata kepada 193.46.

Indeks Perladangan meningkat 10.42 mata kepada 7,434.59 dan Indeks Tenaga menokok 8.02 mata kepada 985.87.

Jumlah dagangan Pasaran Utama berkurangan kepada 2.49 bilion unit bernilai RM2.62 bilion daripada 2.53 bilion unit bernilai RM2.55 bilion semalam.

Jumlah dagangan waran susut kepada 997.69 juta unit bernilai RM167 juta daripada 1.11 bilion unit bernilai RM155.54 juta semasa ditutup pada Isnin.

Jumlah dagangan Pasaran ACE menokok kepada 1.2 bilion saham bernilai RM397.07 juta daripada 884.03 juta saham bernilai RM298.12 juta.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 545.0 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (419.30 juta), pembinaan (257.03 juta), teknologi (260.72 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (75.23 juta), hartanah (338.35 juta), perladangan (24.17 juta), REIT (12.5 juta), dana tertutup (73,100), tenaga (218.58 juta), penjagaan kesihatan (100.6 juta), telekomunikasi dan media (35.53 juta), pengangkutan dan logistik (119.94 juta), utiliti (84.4 juta), dan amanah perniagaan (221,900).

-BERNAMA

Berita Harian X