Jumaat, 10 Mei 2024 | 8:07pm
Selera risiko yang bertambah baik membolehkan ringgit meningkat berbanding dolar AS - Gambar hiasan
Selera risiko yang bertambah baik membolehkan ringgit meningkat berbanding dolar AS - Gambar hiasan

Ringgit ditutup kukuh berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup kukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini berikutan selera risiko yang bertambah baik, kata penganalisis.

Pada 6 petang, ringgit naik kepada 4.7385/7410 berbanding dolar AS daripada 4.7395/7425 yang disaksikan semalam.

Penganalisis berkata, kejatuhan dalam hasil Perbendaharaan AS telah merangsang kedudukan mata wang tempatan hari ini.

"Hasil Perbendaharaan AS 10 tahun susut kepada 4.45 peratus pada 9 Mei daripada 4.48 peratus yang dicatatkan pada 8 Mei lalu, ini mempengaruhi pergerakan dolar AS," katanya kepada Bernama.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata hasil Perbendaharaan AS tidak begitu memberangsangkan hari ini selepas peniaga mencerna lonjakan dalam angka pengangguran awal AS iaitu 231,000 minggu lalu berbanding hanya 209,000 pada minggu sebelumnya.

"Ini menunjukkan bahawa pasaran buruhnya semakin lemah, memperbaharui harapan untuk pemotongan kadar AS yang mungkin berlaku tahun ini. Walaupun aset berisiko seperti ekuiti meningkat manakala hasil Perbendaharaan AS jatuh, dolar AS masih disokong dengan baik," katanya kepada Bernama.

Pada penutup, ringgit diniagakan lebih rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia menyusut berbanding yen kepada 3.0428/0446 daripada 3.0401/0422 yang dicatatkan pada Khamis, jatuh berbanding pound kepada 5.9364/9395 daripada 5.9177/9215 dan melemah berbanding euro kepada 5.1072/1098 daripada 5.0855/0887 sebelumnya.

Ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN.

Ringgit susut berbanding dolar Singapura kepada 3.5017/5038 daripada 3.4939/4964 dan merosot nilainya berbanding baht Thailand kepada 12.9009/9137 daripada 12.8303/8436.

Bagaimanapun, mata wang tempatan itu meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 295.2/295.6 daripada 295.3/295.6 semalam dan lebih baik berbanding peso Filipina pada 8.25/8.26 berbanding 8.26/8.27.

-BERNAMA

Berita Harian X