Jumaat, 10 Mei 2024 | 10:52am

Permintaan meningkat, ringgit mengukuh berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR: Ringgit memulakan urus niaga Jumaat dengan lebih positif apabila diniagakan mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), didorong oleh permintaan terhadapnya ketika minat terhadap unit negara maju itu sebaliknya lemah dalam dagangan kecil, kata penganalisis.

Pada 9 pagi ini, ringgit mengukuh kepada 4.7360/7400 berbanding dolar AS daripada 4.7395/7425 yang dicatatkan semalam.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata Indeks Dolar AS (DXY) susut kepada 105.218 mata ketika data Tuntutan Pengangguran Awal (IJC) negara itu melonjak kepada 231,000 minggu lalu daripada 209,000 pada minggu sebelumnya.

Peningkatan IJC itu membuktikan lebih ramai rakyat AS meminta tuntutan insurans apabila tidak bekerja yang boleh dikaitkan dengan senario pasaran tenaga kerja yang lemah.

"Perkembangan sedemikian hanya memberi sokongan kepada jangkaan pengurangan kadar faedah AS ketika Rizab Persekutuan (Fed) berkemungkinan mahu mengalihkan perhatian daripada mengurangkan inflasi kepada pertumbuhan semula," katanya kepada Bernama.

Mohd Afzanizam berkata hasil kertas Perbendaharaan AS merangkumi masing-masing dua dan 10 tahun, menokok empat dan tiga mata asas kepada 4.80 peratus dan 4.45 peratus manakala ekuiti AS juga meningkat apabila kadar faedah lebih rendah dilihat dapat menyelamatkan syarikat daripada kos pinjaman yang tinggi.

"Atas alasan itu, ringgit sepatutnya menunjukkan prestasi memberangsangkan. Jika data terus lemah di masa akan datang, ini akan hanya meningkatkan nilai mata wang pasaran pesat membangun, termasuk ringgit," katanya.

Pada sesi awal dagangan, ringgit diniagakan rendah berbanding kumpulan mata wang utama, termasuk susut berbanding yen Jepun kepada 3.0451/0480 daripada 3.0401/0422, turun berbanding pound Britain kepada 5.9299/9350 daripada 5.9177/9215 dan rendah berbanding euro kepada 5.1054/1097 daripada 5.0855/0887 sebelum ini.

Selain itu, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN.

Berbanding dolar Singapura, ringgit turun kepada 3.5006/5038 daripada 3.4939/4964 Khamis, rendah berbanding baht Thailand kepada 12.8920/9078 daripada 12.8303/8436, naik berbanding rupiah Indonesia pada 295.0/295.5 daripada 295.3/295.6 namun tidak berubah berbanding peso Filipina pada 8.26/8.28. – Bernama

Berita Harian X