Khamis, 9 Mei 2024 | 9:55am
Ringgit berkemungkinan kekal lemah dengan bacaan teknikal menghampiri kedudukan terlebih beli - Gambar hiasan
Ringgit berkemungkinan kekal lemah dengan bacaan teknikal menghampiri kedudukan terlebih beli - Gambar hiasan

Ringgit dibuka rendah menunggu pengumuman OPR hari ini

KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Khamis berikutan dolar AS kekal kukuh sementara peserta pasaran tempatan menunggu pengumuman Bank Negara Malaysia (BNM) mengenai Kadar Dasar Semalaman (OPR) hari ini, kata penganalisis.

Pada 9.01 pagi, ringgit susut kepada 4.7445/7470 berbanding dolar AS daripada 4.7390/7440 ketika ditutup semalam.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata Indeks Dolar AS (DXY) terus meningkat kepada 105.546 mata, naik 0.1 peratus.

"Dalam situasi ketiadaan data penting untuk menjangkakan pengurangan ekonomi dari segi arah hala tuju kadar faedah akan bergerak, ulasan daripada pegawai Rizab Persekutuan AS (Fed) akan menjadi petunjuk utama dan setakat ini Fed konsisten dalam kenyataannya bahawa inflasi masih kekal menjadi perhatian.

"Kenyataan Presiden Fed Boston, Susan Collins menandakan kadar faedah mungkin perlu kekal tinggi untuk tempoh yang berlarutan bagi mengekang permintaan dan menurunkan tekanan harga," katanya kepada Bernama.

Mohd Afzanizam berkata justeru, ringgit berkemungkinan kekal lemah dengan bacaan teknikal menghampiri kedudukan terlebih beli.

"Tumpuan hari ini kepada keputusan mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari BNM. Semua pakar ekonomi menjangkakan OPR kekal tidak berubah pada 3.00 peratus.

"Menarik untuk melihat penilaian terbaru BNM mengenai inflasi susulan perubahan dasar baru-baru ini iaitu pengeluaran fleksibel untuk dana persaraan dan pelarasan gaji bagi kalangan penjawat awam," katanya.

Pada pembukaan dagangan, ringgit diniagakan rendah kebanyakannya berbanding beberapa mata wang utama.

Ringgit meningkat berbanding yen Jepun kepada3.0484/0502 daripada 3.0495/0530 ketika ditutup pada Rabu namun rendah berbanding pound British kepada 5.9254/9285 daripada 5.9209/9272.

Unit domestik susut berbanding euro kepada 5.0970/0997 daripada 5.0954/1007 semalam.

Mata wang tempatan juga didagangkan rendah kebanyakannya berbanding mata wang negara ASEAN.

Ringgit turun berbanding baht Thailand kepada 12.8299/8408 daripada 12.8188/8383 pada Rabu dan lemah berbanding dolar Singapura kepada 3.4984/5005 daripada 3.4956/4996.

Ringgit juga susut berbanding rupiah Indonesia pada 295.6/295.9 daripada 295.2/295.7 namun, tidak berubah berbanding peso Filipina pada 8.26/8.27.

-BERNAMA

Berita Harian X