Selasa, 7 Mei 2024 | 7:26pm
Prospek bagi ringgit kelihatan menarik - Gambar hiasan
Prospek bagi ringgit kelihatan menarik - Gambar hiasan

Ringgit ditutup kukuh berbanding dolar AS, mata wang utama

KUALA LUMPUR: Ringgit terus mendapat sokongan dan mengukuh sedikit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada akhir urus niaga Selasa walaupun unit negara maju itu menjadi pilihan berbanding mata wang utama lain, kata ahli ekonomi.

Pada 6 petang, ringgit meningkat kepada 4.7375/7400 berbanding dolar AS daripada 4.7380/7405 pada akhir urus niaga semalam.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata Indeks Dolar AS menokok 0.17 peratus kepada 105.229 mata.

"Dolar AS dilihat kekal berdaya tahan walaupun terdapat jangkaan Rizab Persekutuan AS (Fed) berkemungkinan mengurangkan kadar faedahnya selepas laporan penggajian diumumkan pada Jumaat lalu.

"Setakat ini, pasaran ekuiti telah menyaksikan prestasi memberangsangkan ketika jangkaan kadar lebih rendah itu boleh meningkatkan penilaian saham, sekali gus meningkatkan lagi tarikannya di mata pelabur," katanya kepada Bernama.

Selain itu, beliau berkata hasil Perbendaharaan AS mencatat aliran penurunan dengan nota 10 tahun pada masa ini diniagakan pada 4.6 peratus atau tiga mata lebih rendah berbanding semalam.

Sementara itu, Pengarah Pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes, berkata prospek bagi ringgit kelihatan menarik, terutama susulan jangkaan penurunan kadar faedah pada September ini.

Pengerusi Fed, Jerome Powell juga berkongsi pendiriannya yang menolak kenaikan kadar faedah AS walaupun dalam persekitaran tekanan inflasi yang ketara.

"Memandangkan data tinjauan ekonomi AS menunjukkan pertumbuhan pekerjaan yang terus lemah, terdapat kemungkinan dolar AS akan susut dan menyaksikan ringgit mencecah paras 4.70 (berbanding dolar AS)," kata Innes.

Dalam pada itu, ringgit diniagakan mengukuh berbanding kelompok mata wang utama lain pada akhir urus niaga hari ini.

Ringgit meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.0646/0664 daripada 3.0806/0825 semalam, mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.9385/9416 daripada 5.9604/9635 dan naik berbanding euro kepada 5.0971/0998 daripada 5.1033/1060, sebelumnya.

Selain itu, ringgit juga meningkat berbanding mata wang ASEAN.

Ini termasuk mengukuh berbanding baht Thailand kepada 12.8332/8459 daripada 12.8950/9070, naik berbanding dolar Singapura pada 3.4989/5010 daripada 3.5086/5107, meningkat berbanding rupiah Indonesia pada 295.2/295.5 daripada 295.6/295.9 dan tinggi berbanding peso Filipina pada 8.27/8.28 daripada 8.28/8.29.

-BERNAMA

Berita Harian X