Jumaat, 3 Mei 2024 | 7:08pm

Ringgit terus mengukuh berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR: Ringgit meneruskan prestasi positifnya untuk ditutup tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat, seiring dengan aliran mata wang serantau ketika pelabur beralih daripada mata wang selamat, kata peniaga.

Pada 6 petang, ringgit mencecah paras 4.7370/7400 berbanding dolar AS daripada 4.7535/7555 pada Khamis.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata mata wang tempatan terus mencatat aliran positif dan terus mendapat sokongan selepas keputusan Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan AS (FOMC) pada 1 Mei, 2024.

Mesyuarat FOMC itu jelas menunjukkan kadar faedah AS dijangka kekal dalam tempoh terdekat ini memandangkan inflasi tidak banyak berubah untuk mencapai paras sasarannya.

"Ringgit mengukuh berbanding dolar AS sehingga ke paras RM4.7328 ketika sesi urus niaga awal hari ini, namun susut ke paras RM4.7395 pada tengah hari. Mata wang uama lainnya turut meningkat berbanding dolar AS, termasuk yen Jepun menokok kepada 153.21 iaitu di bawah paras psikologi 155.

"Nampaknya jangkaan pengurangan kadar faedah AS mendapat sedikit tarikan susulan keputusan mesyuarat FOMC pada Rabu lepas," katanya kepada Bernama.

Pada akhir urus niaga hari ini, ringgit rendah berbanding kumpulan mata wang utama lain.

Ringgit susut berbanding yen Jepun kepada 3.0947/0968 daripada 3.0614/0629 pada Khamis namun mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.9487/9525 daripada 5.9490/9515 sebelumnya dan rendah berbanding euro kepada 5.0890/0922 daripada 5.0877/0898.

Unit tempatan itu juga diniagakan kebanyakannya rendah berbanding mata wang Asean, termasuk susut berbanding baht Thailand kepada 12.8723/8850 daripada 12.8615/8729 dan rendah berbanding dolar Singapura kepada 3.5027/5054 daripada 3.4970/4987, sebelum ini.

Ringgit turun berbanding rupiah Indonesia kepada 294.4/294.8 daripada 293.6/293.9 semalam namun mengukuh berbanding peso Filipina kepada 8.25/8.27 daripada 8.26/8.27, sebelum ini. – Bernama

Berita Harian X