Khamis, 2 Mei 2024 | 10:02pm
Ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding kumpulan mata wang utama - Gambar hiasan
Ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding kumpulan mata wang utama - Gambar hiasan

Ringgit melantun semula untuk ditutup tinggi

KUALA LUMPUR: Ringgit melantun semula daripada penurunan pada Selasa untuk ditutup tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini di tengah-tengah prestasi positif mata wang serantau, kata seorang peniaga.

Pada jam 6 petang, ringgit meningkat kepada 4.7535/7555 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.7700/7750 pada Selasa.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata ringgit mengukuh berbanding dolar AS hari ini kerana terdapat kemungkinan kadar faedah AS akan dikekalkan buat masa ini.

"Ringgit naik sebanyak 0.39 peratus berbanding dolar AS kepada RM4.7533. Mata wang serantau lain termasuk rupiah, baht Thai, peso Filipina dan won Korea masing-masing meningkat sebanyak 0.46, 0.22, 0.55 dan 0.83 peratus.

"Mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC), yang berlangsung malam tadi jelas menunjukkan kadar faedah AS dijangka kekal dalam tempoh terdekat ini memandangkan inflasi tidak banyak berubah untuk mencapai paras sasarannya," katanya.

Pada masa sama, Mohd Afzanizam berkata, agak melegakan apabila Rizab Persekutuan AS nampaknya tidak cenderung untuk menaikkan kadar dana.

"Cabaran seterusnya adalah Senarai Gaji Bukan Ladang AS yang akan diumumkan malam esok," katanya.

Pada penutup dagangan, ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding kumpulan mata wang utama lain.

Unit tempatan turun berbanding yen Jepun kepada 3.0614/0629 daripada paras penutup 3.0396/0430 pada Selasa tetapi mengukuh berbanding pound Britian kepada 5.9490/9515 daripada 5.9835/9898 dan naik berbanding euro kepada 5.0877/0898 daripada 5.1163/1217 sebelumnya.

Pada masa yang sama, unit tempatan diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang negara-negara ASEAN lain.

Ringgit naik berbanding baht Thai kepada 12.8615/8729 daripada 12.8689/8869 pada Selasa dan meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.4970/4987 daripada 3.5045/5084.

Bagaimanapun, unit tempatan turun berbanding rupiah Indonesia kepada 293.6/293.9 daripada 293.3/293.8 dan susut berbanding peso Filipina kepada 8.26/8.27 daripada 8.25/8.27 sebelumnya.

-BERNAMA

Berita Harian X