Khamis, 2 Mei 2024 | 11:44am
Ringgit diniagakan rendah berbanding mata wang ASEAN - Gambar hiasan
Ringgit diniagakan rendah berbanding mata wang ASEAN - Gambar hiasan

Ringgit dibuka rendah selepas AS kekalkan kadar faedah

KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini selepas Rizab Persekutuan (Fed) AS mengekalkan kadar faedah penanda arasnya tidak berubah.

Pada 9 pagi, ringgit dibuka pada 4.7705/7775 berbanding dolar AS daripada 4.7700/7750 pada Selasa.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) selama dua hari yang berakhir pada Rabu dengan Fed mengekalkan kadar faedah stabil pada 5.50 peratus berikutan kekurangan kemajuan ke arah mencapai sasaran inflasi sebanyak dua peratus.

"Pada masa yang sama, pilihan untuk menaikkan kadar faedah tidak dibincangkan, dengan Fed menekankan kepada keperluan untuk menilai data yang masuk sebelum sebarang keputusan boleh dibuat.

"Dalam konteks ini, (naratif kadar faedah) tinggi untuk tempoh yang lama masih berlaku tetapi kecenderungan menurun pada kadar adalah kekal," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, ia lebih menjadi persoalan mengenai bila Fed akan mula meredakan pendirian dasar monetari.

"Oleh itu, hasil untuk tempoh dua tahun, yang sensitif kepada Kadar Dana Fed, merosot tujuh mata asas kepada 4.96 peratus manakala Indeks Dolar AS susut 0.44 peratus kepada 105.755 mata," katanya.

Pada sesi pembukaan, ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ringgit meningkat berbanding pound kepada 5.9755/9843 daripada 5.9835/9898 sebelum ini dan meningkat semula berbanding euro kepada 5.1097/1172 daripada 5.1163/1217.

Bagaimanapun, ia merosot berbanding yen Jepun kepada 3.0572/0621 daripada 3.0396/0430 pada Selasa.

Pada masa yang sama, mata wang tempatan diniagakan rendah berbanding mata wang ASEAN.

Ia merosot berbanding baht Thailand kepada 12.8800/9038 daripada 12.8689/8869 pada Selasa dan hampir tidak berubah berbanding rupiah Indonesia kepada 293.3/293.9 daripada 293.3/293.8 pada Selasa.

Ia rendah berbanding peso Filipina kepada 8.26/8.28 daripada 8.25/8.27 sebelum ini dan merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.5049/5103 daripada 3.5045/5084.

-BERNAMA

Berita Harian X