Rabu, 24 April 2024 | 7:47pm
Kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 777 berbanding 327 - Gambar hiasan
Kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 777 berbanding 327 - Gambar hiasan

Bursa Malaysia ditutup pada paras tertinggi dalam tempoh dua tahun

KUALA LUMPUR: Indeks utama Bursa Malaysia meningkat 0.63 peratus untuk ditutup pada paras tertinggi dalam tempoh dua tahun hari ini mendapat rangsangan daripada prospek positif di bursa tempatan dan prestasi kukuh di pasaran serantau.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 9.84 mata kepada 1,571.48 daripada paras penutup 1,561.64 pada Selasa.

Indeks petunjuk pasaran itu yang dibuka tinggi naik 3.85 mata kepada 1,565.49, bergerak antara paras 1,564.89 dan 1,572.48 sepanjang sesi dagangan.

Di keseluruhan pasaran, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 777 berbanding 327 manakala 480 kaunter tidak berubah, 780 tidak diniagakan dan 21 yang lain digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 4.25 bilion unit bernilai RM3.03 bilion daripada 3.73 bilion unit bernilai RM2.79 bilion pada Selasa.

Ketua Penyelidikan dan Penasihat Harta dan Pengurus Portfolio di UOB Kay Hian Wealth Advisors, Mohd Sedek Jantan, berkata peningkatan kukuh FBM KLCI itu didorong oleh prospek positif pasaran Malaysia.

"Lonjakan ini dipacu terutamanya daripada keyakinan terhadap sektor teknologi dan semikonduktor, yang mendapat rangsangan daripada pengumuman Tesla mengenai pelancaran lebih awal model mampu miliknya pada separuh pertama 2025, dan bukan sebaliknya pada separuh kedua seperti dijangkakan sebelum ini," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata

"Selain itu, pengenalan model yang lebih mampu milik dijangka mengukuhkan lagi industri automotif dan memudahkan penskalaan latihan AI melalui data tambahan daripada kumpulan kenderaan yang lebih besar.

"Oleh itu, Malaysia bakal mendapat manfaat daripada peningkatan permintaan semikonduktor, memanfaatkan kepakaran meluasnya di peringkat akhir pembuatan semikonduktor," katanya sambil menambah Sidang Kemuncak KL20 2024 yang baru saja berakhir telah menggariskan trajektori untuk Malaysia muncul sebagai pengeluar utama cip di rantau di Asia Tenggara.

Dalam kalangan kaunter wajaran tinggi, Public Bank naik 4.0 sen kepada RM4.25, Tenaga Nasional meningkat 14 sen kepada RM11.86 dan Maybank susut 2.0 sen kepada RM9.80. IHH Healthcare berkurangan 4.0 sen kepada RM6.20 manakala CIMB tidak berubah pada RM6.67.

Dalam kalangan saham cergas, Talam Transform naik setengah sen kepada 1.5 sen, My E.G. meningkat 1.5 sen kepada 80 sen dan InGenieur Gudang susut setengah sen kepada 13.0 sen. TWL Holdings dan Bina Puri tidak berubah masing-masing pada 3.0 sen dan 7.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 85.45 mata keoada 11,800.49, Indeks FBM 70 melonjak 133.27 mata kepada 16,382.31 dan Indeks FBMT 100 menokok 77.12 mata kepada 11,435.38.

Indeks FBM Emas Shariah melonjak 116.52 mata kepada 11,974.87 dan Indeks FBM ACE naik 108.66 mata kepada 5,066.81.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 2.24 mata kepada 187.80, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 30.71 mata kepada 17,386.06, Indeks Tenaga menambah 4.64 mata kepada 973.80 dan Indeks Perladangan menokok 49.59 mata kepada 7,433.54.

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 2.41 bilion unit bernilai RM2.63 bilion daripada 2.0 bilion unit bernilai RM2.42 bilion pada Selasa.

Jumlah dagangan waran menokok kepada 1.21 bilion unit bernilai RM170.48 juta daripada 935.10 juta unit bernilai RM114.23 juta.

Jumlah dagangan Pasaran ACE menyusut kepada 629.57 juta saham bernilai RM231.37 juta daripada 783.91 juta saham bernilai RM251.55 juta sebelumnya.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 318.34 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (546.22 juta), pembinaan (213.62 juta), teknologi (286.78 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (105.71 juta), hartanah (534.83 juta), perladangan (35.29 juta), REITs (19.06 juta), dana tertutup (29,000), tenaga (153.12 juta), penjagaan kesihatan (61.16 juta), telekomunikasi dan media (45.38 juta), pengangkutan dan logistik (32.93 juta), utiliti (48.98 juta) dan amanah perniagaan (3.94 juta).

-BERNAMA

Berita Harian X