Khamis, 18 April 2024 | 10:59am
Keadaan pasaran kekal berhati-hati seperti yang digambarkan oleh jumlah dagangan harian yang rendah - Gambar hiasan
Keadaan pasaran kekal berhati-hati seperti yang digambarkan oleh jumlah dagangan harian yang rendah - Gambar hiasan

Bursa Malaysia bertukar positif dalam dagangan awal

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka rendah pada Khamis namun kemudiannya meningkat.

Pada 9.17 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 1.17 mata kepada 1,541.59 daripada 1,540.42 semasa ditutup pada Rabu.

Indeks petunjuk pasaran dibuka rendah 0.58 mata kepada 1,539.84.

Di pasaran meluas menyaksikan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 262 berbanding 151, manakala 307 kaunter tidak berubah, 1,644 tidak diniagakan dan 21 yang lain digantung dagangan.

Jumlah dagangan sebanyak 304.63 juta unit bernilai RM145.51 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng, berkata Wall Street ditutup pada paras lemah dalam tempoh semalaman berikutan peniaga mengambil untung meskipun ketika ketidaktentuan mengenai kadar faedah, ketegangan geopolitik dan musim pelaporan keputusan yang akan datang.

Purata Perindustrian Dow Jones susut 46 mata manakala Nasdaq berkurangan 182 mata walaupun hasil 10 tahun Amerika Syarikat berkurangan kepada 4.589 peratus.

"Di dalam negara, FBM KLCI melantun semula kepada paras 1,540 berikutan belian yang menyeluruh.

Bagaimanapun, kami mengesan keadaan pasaran kekal berhati-hati seperti yang digambarkan oleh jumlah dagangan harian yang rendah semalam," katanya kepada Bernama.

Pak Leng berpandangan bahawa belian semasa harga rendah dijangka berterusan hari ini meskipun aktiviti perdagangan diramal suram.

Sehubungan itu, beliau menjangkakan indeks itu akan bergerak dalam julat 1,535 hingga 1,545 hari ini.

Dalam kalangan kaunter wajaran tinggi, Maybank menokok tiga sen kepada RM9.63, CIMB meningkat satu sen kepada RM6.54, dan Tenaga Nasional naik empat sen kepada RM11.56. Public Bank dan Petronas Chemicals pula tidak berubah, masing-masing pada RM4.15 dan RM6.83.

Bagi saham aktif, Jaks Resources dan Tanco Holdings masing-masing turun setengah sen kepada 14 sen dan 83.5 sen, Eversendai Corp menambah 1.5 sen kepada 39 sen, RGB International meningkat setengah sen kepada 35.5 sen dan Ingenieur Gudang kekal pada 14.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 0.73 mata kepada 11,576.71, Indeks FBM ACE berkurangan 14.43 mata kepada 4,910.94 dan Indeks FBM 70 turun 34.94 mata kepada 16,079.18.

Indeks FBMT 100 naik 0.02 mata kepada 11,219.41 dan Indeks FBM Emas Syariah meningkat 0.14 mata kepada 11,757.45.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian merosot 0.01 mata kepada 183.30, Indeks Tenaga berkurangan 8.03 mata kepada 951.14 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 20.87 mata kepada 17,086.62.

Indeks Perladangan berkurangan 4.98 mata kepada 7,352.90.

-BERNAMA

Berita Harian X