Rabu, 17 April 2024 | 7:08pm
Gambar fail.
Gambar fail.

Bursa Malaysia ditutup tinggi, akhiri penurunan empat hari

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia mengakhiri penurunan selama empat hari berturut-turut untuk ditutup tinggi hari ini disokong oleh aktiviti membeli saham berharga rendah susulan jualan baru-baru ini, kata seorang penganalisis.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 5.42 mata atau 0.35 peratus kepada 1,540.42 daripada paras penutup 1,535.0 pada Selasa.

Indeks petunjuk pasaran itu yang dibuka tinggi naik 0.05 mata kepada 1,535.05, bergerak antara paras 1,532.95 dan 1,541.88 sepanjang sesi dagangan.

Di keseluruhan pasaran, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 717 berbanding 318, manakala 469 kaunter tidak berubah, 848 tidak diniagakan dan 11 yang lain digantung.

Jumlah dagangan susut kepada 3.45 bilion unit bernilai RM2.67 bilion daripada 4.93 bilion unit bernilai RM3.72 bilion pada Selasa.

Naib presiden penyelidikan ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata kebanyakan indeks utama serantau melantun semula susulan jualan baru-baru ini yang menyaksikan Indeks Hang Seng Hong Kong naik 0.02 peratus kepada 16,251.84, Indeks Komposit SSE China meningkat 2.14 peratus kepada 3,071.38 dan Indeks Straits Times Singapura menokok 0.63 peratus kepada 3,164.42.

Bagaimanapun, kenaikan itu terhad di pasaran tertentu berikutan jangkaan kadar faedah Amerika Syarikat akan terus kekal tinggi, katanya kepada Bernama.

"Di pasaran domestik, kami mengekalkan pendekatan berhati-hati kerana hala tuju jangka pendek pasaran tempatan banyak dipengaruhi oleh faktor luaran seperti kemeruapan serantau, kadar faedah dan ketegangan geopolitik. Bagaimanapun, kami menjangkakan pengumpulan saham akan berterusan susulan penurunan pasaran," katanya.

Thong juga menjangkakan FBM KLCI diniagakan tidak berubah dengan kecenderungan meningkat dalam jajaran 1,530-1,550 bagi tempoh berbaki minggu ini dengan paras sokongan segera pada 1,530 dan paras rintangan pada 1,570.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank naik dua sen kepada RM9.60, Public Bank dan CIMB meningkat lima sen masing-masing kepada RM4.15 dan RM6.53, Tenaga Nasional menokok empat sen kepada RM11.52 dan Petronas Chemicals menambah tiga sen kepada RM6.83.

Dalam kalangan saham cergas, Bina Puri Holdings dan MY E.G. Services naik setengah sen masing-masing kepada 8.5 sen dan 77.5 sen, manakala Alpha IVF turun setengah sen kepada 33 sen, Avillion jatuh 1.5 sen kepada 4.5 sen dan Ingenieur Gudang tidak berubah pada 14.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 62.43 mata kepada 11,577.44, Indeks FBMT 100 naik 50.41 mata kepada 11,219.39 dan Indeks FBM ACE melonjak 43.43 mata kepada 4,925.37.

Indeks FBM Emas Shariah melonjak 60.88 mata kepada 11,757.31 dan Indeks FBM 70 meningkat 117.32 mata kepada 16,114.12.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 1.23 mata kepada 183.31, Indeks Tenaga naik 9.23 mata kepada 959.17, Indeks Perkhidmatan Kewangan menokok 98.54 mata kepada 17,107.49, manakala Indeks Perladangan berkurangan 41.36 mata kepada 7,357.88.

Jumlah dagangan Pasaran Utama turun kepada 2.05 bilion unit bernilai RM2.39 bilion daripada 3.03 bilion unit bernilai RM3.36 bilion pada Selasa.

Jumlah dagangan waran menyusut kepada 808 juta unit bernilai RM95.66 juta daripada 1.14 bilion unit bernilai RM128.50 juta.

Jumlah dagangan Pasaran ACE jatuh kepada 588.20 juta saham bernilai RM184.38 juta daripada 744.71 juta saham bernilai RM231.13 sebelumnya.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 303.25 juta saham diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (430.87 juta), pembinaan (263.50 juta), teknologi (195.25 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (98.66 juta), hartanah (342.52 juta), perladangan (41.92 juta), REITs (10.62 juta), dana tertutup (16,000), tenaga (170.37 juta), penjagaan kesihatan (58.37 juta), telekomunikasi dan media (38.15 juta), pengangkutan dan logistik (44.90 juta) dan utiliti (54.44 juta). – Bernama

Berita Harian X