Isnin, 15 April 2024 | 8:58pm
Ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding sekumpulan mata wang utama - Foto Reuters
Ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding sekumpulan mata wang utama - Foto Reuters

Ringgit jatuh seiring dengan mata wang pesat membangun

KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Isnin, seiring dengan mata wang pesat membangun lain memandangkan penggiat pasaran bimbang mengenai situasi di Asia Barat, kata penganalisis.

Pada 6 petang, ringgit merosot kepada 4.7785/7815 berbanding dolar AS daripada 4.7680/7730 semasa ditutup pada Jumaat.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata selain konflik Asia Barat, Rizab Persekutuan (Fed) AS dijangka tidak menurunkan kadar faedah dalam tempoh terdekat ini berikutan kadar inflasi tinggi yang dicatatkan pada Mac iaitu 3.5 peratus.

"Oleh itu, kita mempunyai risiko geopolitik yang meningkat, menyebabkan peserta forex (tukaran asing) banyak memihak kepada dolar AS dan Fed pula mungkin mengekalkan kadar yang tinggi untuk tempoh lebih panjang," katanya kepada Bernama.

Sehubungan itu, Mohd Afzanizam berpendapat faktor ini telah diterjemahkan kepada pandangan meningkat terhadap dolar AS dalam masa terdekat.

Pada penutupan dagangan, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia susut berbanding euro kepada 5.0915/0947 daripada 5.0808/0861 semasa ditutup pada Jumaat dan berkurangan berbanding pound Britain kepada 5.9660/9697 daripada 5.9562/9624.

Bagaimanapun, mata wang tempatan itu menokok berbanding yen Jepun kepada 3.1053/1075 daripada 3.1098/1133 sebelumnya.

Pada masa sama, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN.

Mata wang tempatan lebih tinggi berbanding baht Thailand kepada 13.0148/13.0286 daripada 13.0831/13.1036 semasa ditutup pada Jumaat dan meningkat berbanding peso Filipina kepada 8.41/8.42 daripada 8.43/8.44 sebelumnya.

Bagaimanapun, ringgit lemah berbanding dolar Singapura kepada 3.5123/5148 daripada 3.5090/5129 dan berkurangan berbanding rupiah Indonesia kepada 301.4/301.8 daripada 300.8/301.3 minggu lepas

-BERNAMA

Berita Harian X