Jumaat, 12 April 2024 | 10:43am

Ringgit dibuka rendah, dolar AS mengukuh berbanding mata wang global

KUALA LUMPUR: Ringgit memulakan urus niaga Jumaat dengan lebih rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dengan kalangan peniaga kekal memberi tumpuan terhadap mata wang negara maju itu selain data inflasi AS yang lebih tinggi daripada jangkaan.

Perkembangan inflasi itu membayangkan kemungkinan bahawa pihak Rizab Persekutuan AS akan mengekalkan langkah menaikkan kadar faedah, sekali gus melenyapkan jangkaan penurunan kadar faedah pada Jun ini.

Pada 9 pagi ini, ringgit turun kepada 4.7695/7735 berbanding dolar AS daripada 4.7455/7500. yang dicatatkan pada Selasa lepas.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata Indeks Dolar AS (DXY) melepasi paras 105 mata susulan pengumuman laporan inflasi AS pada Mac yang mencatatkan 3.5 peratus berbanding jangkaan 3.4 peratus.

"Segelintir ahli ekonomi telah menjangkakan pengurangan kadar faedah dalam tempoh menuju suku akhir tahun ini.

"Dolar AS dijangkakan kekal positif dalam jangka pertengahan yang menyaksikan ringgit diasak tekanan memandangkan perbezaan kadar antara AS dan Malaysia yang ketara," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, dari sudut lonjakan hasil Perbendaharaan AS, Rakan Pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata inflasi AS yang kekal tinggi itu telah menyebabkan angka hasil Perbendaharaan terus meningkat, sekali gus mempengaruhi dinamik pasaran.

"Faktor ini dengan cabaran deflasi berterusan di China, hanya membayangkan prospek bagi mata wang termasuk ringgit. Ini terutamanya di tengah-tengah peningkatan sentimen risiko global yang dapat dilihat dalam pasaran Asia hari ini, khususnya mengambil kira petunjuk membabitkan ekuiti AS," katanya.

Sehubungan itu, adalah penting untuk memantau pergerakan yen Jepun dan yuan China khususnya, bagi menilai sama ada pembuat dasar China bersedia menangani penyusutan yuan seterusnya yang boleh memberi kesan ke atas mata wang seperti ringgit.

Laporan menyatakan dolar AS mengukuh ketara berbanding hampir semua mata wang utama lain, malah mencecah paras tinggi sejak beberapa dekad, termasuk melonjak kepada 153.24 berbanding yen iaitu paling kukuh sejak 1990 atau 34 tahun.

Dalam pada itu, sewaktu urus niaga dibuka hari ini, ringgit diniagakan lebih positif berbanding kumpulan mata wang utama lain iaitu mengukuh berbanding yen Jepun pada 3.1175/1203 daripada paras penutup Selasa 3.1255/1287.

Ringgit juga naik berbanding euro kepada 5.1158/1201 daripada 5.1565/1614 dan meningkat berbanding pound Britain kepada 5.9881/9931 daripada 6.0173/0230 sebelum ini.

Selain itu, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang Asean, termasuk meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.5243/5276 daripada 3.5262/5298 namun rendah berbanding baht Thailand pada 13.0500/13.0678 daripada 12.9434/12.9596.

Unit tempatan itu susut berbanding rupiah Indonesia kepada 300.9/301.3 daripada 299.3/299.8 dan rendah berbanding peso Filipina pada 8.45/8.46 daripada 8.41/8.42. – Bernama

Berita Harian X