Selasa, 9 April 2024 | 10:08pm
Gambar fail.
Gambar fail.

Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR: Ringgit mengakhiri dagangan dengan prestasi lebih tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Selasa ketika peserta pasaran menunggu data Indeks Harga Pengguna (IHP) AS bagi Mac dikeluarkan pada Rabu, kata penganalisis.

Pada 6 petang, ringgit meningkat kepada 4.7455/7500 berbanding dolar AS daripada 4.7505/7545 ketika ditutup semalam.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata IHP keseluruhan dan teras itu dijangka pada 3.4 peratus bagi Mac berbanding 3.2 peratus pada Februari, serta 3.7 peratus pada Mac berbanding 3.8 peratus pada Februari, berdasarkan jangkaan konsensus.

"Nampaknya jangkaan bagi tiga kali penurunan kadar faedah di AS tahun ini boleh diteliti semula memandangkan pertumbuhan pekerjaan yang kukuh baru-baru ini pada Mac.

"Selain itu, jika kadar inflasi mengambil masa lebih panjang untuk mencapai sasaran dua peratus, Rizab Persekutuan mempunyai lebih banyak sebab untuk terus berwaspada terhadap risiko inflasi yang lebih tinggi terutama apabila harga minyak mentah kekal tinggi. Oleh itu, ringgit mungkin lemah dalam tempoh terdekat," katanya kepada Bernama.

Pada penutupan dagangan hari ini, ringgit diniagakan rendah berbanding beberapa mata wang utama kecuali yen Jepun.

Unit domestik kukuh berbanding yen Jepun kepada 3.1255/1287 daripada 3.1278/1306 ketika ditutup pada Isnin namun, susut berbanding euro kepada 5.1565/1614 daripada 5.1434/1477.

Mata wang tempatan rendah berbanding pound British kepada 6.0173/0230 daripada 5.9980/0030 semalam.

Ringgit didagangkan bercampur-campur berbanding mata wang negara Asean.

Unit tempatan turun berbanding baht Thailand kepada 13.0500/13.0678 daripada 12.9434/12.9596 pada Isnin serta lemah berbanding dolar Singapura kepada 3.5262/5298 daripada 3.5202/5234.

Ringgit meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 299.3/299.8 daripada 299.7/300.1 ketika ditutup semalam dan tidak berubah berbanding peso Filipina pada 8.41/8.42. – Bernama

Berita Harian X