Selasa, 9 April 2024 | 10:54am
Kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 225 berbanding 185 - Gambar hiasan
Kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 225 berbanding 185 - Gambar hiasan

Bursa Malaysia dibuka tinggi menjelang cuti Hari Raya

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia tinggi dalam dagangan awal pada Selasa, didorong oleh aktiviti belian saham pada harga rendah dalam saham mewah menjelang cuti panjang sempena sambutan Hari Raya.

Pada 9.15 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menambah 1.59 mata kepada 1,561.57 daripada 1,559.98 semalam. Indeks petunjuk pasaran dibuka rendah 0.07 mata kepada 1,559.91.

Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 225 berbanding 185 manakala 321 kaunter tidak berubah, 1,612 tidak diniagakan dan sembilan yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 273.51 juta unit bernilai RM112.69 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng, berkata indeks dijangka menerima tekanan hari ini berikutan bursa tempatan akan ditutup selama dua hari sempena perayaan Hari Raya.

"FBM KLCI mengekalkan aliran meningkatnya semalam, ditutup hampir kepada paras 1,560, paras tertinggi setakat ini. Kami menjangka indeks akan berada dalam julat 1,555 hingga 1,565 hari ini," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, Wall Street ditutup tidak berubah semalaman dalam sesi dagangan yang tidak menentu berikutan peniaga kekal tidak memasuki pasaran menjelang data Indeks Harga Pengguna (IHP) AS pada Mac dan pekerjaan yang akan dikeluarkan pada Rabu dan Khamis ini.

"Sehubungan itu, Dow Jones Industrial (DJI) Average merosot 11 mata manakala Nasdaq menambah 5 mata. Hasil 10 tahun AS ditutup pada paras tertinggi dalam tempoh lima bulan pada 4.422 peratus.

"Di Hong Kong, Indeks Hang Seng tidak berubah, dengan sentimen kekal berhati-hati menjelang data ekonomi utama dikeluarkan pada minggu ini," katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Public Bank menambah 1.0 sen kepada RM4.25, Petronas Chemical naik 5.0 sen kepada RM6.84 dan Maybank tidak berubah pada RM9.69. CIMB Group merosot 2.0 sen kepada RM6.62 dan Tenaga Nasional meningkat 2 sen kepada RM11.46.

Dalam kalangan saham aktif, Ahmad Zaki Resources, Niche Capital dan EVD Bhd, masing-masing naik 0.5 sen kepada 26.5 sen, 16.0 sen dan 15.0 sen manakala TWL Holdings dan Velesto Energy, masing-masing tidak berubah pada 3.0 sen dan 27.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 9.91 mata kepada 11,743.90, Indeks FBMT 100 meningkat 10.12 mata kepada 11,380.90 dan Indeks FBM Emas Shariah menambah 9.92 mata kepada 11,904.40.

Indeks FBM 70 meningkat 8.66 mata kepada 16,376.90 manakala Indeks FBM ACE naik 5.56 mata kepada 4,986.40.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan menambah 12.59 mata kepada 17,317.50, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan naik 0.41 mata kepada 184.82 dan Indeks Tenaga meningkat 0.27 mata kepada 961.75.

Indeks Perladangan merosot 4.92 mata kepada 7,476.13.

-BERNAMA

Berita Harian X