Jumaat, 5 April 2024 | 8:09pm
Ringgit di paras 4.7460/7490 berbanding dolar AS pada jam 6 petang hari ini -NSTP/EFFENDY RASHID
Ringgit di paras 4.7460/7490 berbanding dolar AS pada jam 6 petang hari ini -NSTP/EFFENDY RASHID

Ringgit jatuh kepada RM4.74 berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) berikutan mata wang AS dianggap mata wang selamat dalam persekitaran peningkatan ketegangan geopolitik di Asia Barat dan menjelang pengumuman data senarai gaji bukan ladang (NFP) AS yang akan dikeluarkan lewat hari ini, kata seorang penganalisis.

Pada 6 petang, ringgit turun kepada 4.7460/7490 berbanding dolar AS daripada 4.7380/7425 semasa ditutup pada Khamis.

Pengarah Urusan SPI Asset Management, Stephen Innes, berkata dolar AS telah mendapat manfaat daripada keadaan perdagangan tanpa risiko yang didorong oleh kebimbangan geopolitik semalam yang membawa kepada penjualan dalam pasaran ekuiti AS dan pada paras lebih rendah serta kenyataan oleh ahli Rizab Persekutuan (Fed), Neel Kashkari bahawa mungkin tidak ada keperluan untuk mengurangkan kadar pada tahun 2024.

"Bagaimanapun, melainkan terdapat kejutan ketara dalam keluaran NFP hari ini, kemungkinan besar pengumuman minggu depan bagi laporan Indeks Harga Pengguna (IHP) dan Indeks Harga Pengeluar (PPI) AS terkini pada minggu depan juga akan memberi kesan kepada jangkaan penurunan kadar faedah oleh Fed dan hala tuju dolar AS sepanjang baki bulan ini," katanya kepada Bernama.

Pada penutupan dagangan, ringgit diniagakan tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama kecuali berbanding yen Jepun.

Unit tempatan melonjak berbanding euro kepada 5.1437/1470 daripada 5.1445/1494 ketika ditutup pada Khamis, menokok berbanding pound Britain kepada 5.9956/9994 daripada 6.0002/0059, bagaimanapun merosot berbanding yen Jepun kepada 3.1341/1363 daripada 3.1222/1254 sebelumnya.

Ringgit diniagakan lebih rendah berbanding mata wang ASEAN kecuali peso Filipina.

Unit tempatan turun berbanding baht Thailand kepada 12.9495/12.9641 daripada 12.9048/12.9223 pada Khamis dan menguncup berbanding rupiah Indonesia kepada 299.4/299.8 berbanding 298.1/298.5 sebelumnya.

Ia juga berkurangan berbanding dolar Singapura kepada 3.5208/5233 daripada 3.5172/5208 semalam bagaimanpun meningkat berbanding peso Filipina kepada 8.39/8.41 daripada 8.40/8.41 sebelumnya.

-BERNAMA

Berita Harian X