Rabu, 3 April 2024 | 8:34pm
Kaunter rugi mengatasi rugi iaitu 593 berbanding 480 - Foto AFP
Kaunter rugi mengatasi rugi iaitu 593 berbanding 480 - Foto AFP

Bursa Malaysia jatuh selepas naik tiga hari berturut-turut

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup rendah hari ini, mengakhiri aliran peningkatan selama tiga hari berturut-turut, mengambil petunjuk prestasi lemah semalaman Wall Street, kata seorang penganalisis.

Pada 5 petang, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 10.98 mata atau 0.70 peratus kepada 1,537.01 daripada 1,547.99 yang dicatatkan semalam.

Indeks petunjuk utama itu dibuka rendah 0.70 mata kepada 1,547.29 dan bergerak dalam lingkungan 1,537.01 hingga 1,548.42 sepanjang sesi dagangan.

Di pasaran meluas, kaunter rugi mengatasi rugi iaitu 593 berbanding 480 dengan 487 kaunter lain tidak berubah, 734 tidak diniagakan dan 13 lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan meningkat kepada 4.26 bilion unit bernilai RM2.87 bilion daripada 4.15 bilion unit bernilai RM2.81 bilion pada Selasa.

Ketua Penyelidikan Apex Securities Bhd, Kenneth Leon,g berkata kelemahan itu juga disebabkan aktiviti pengambilan untung berikutan peningkatan sebelum ini kerana kelemahan jelas dilihat dalam majoriti saham wajaran tinggi perbankan.

"Melangkah ke hadapan, kami menjangkakan ketidakpastian akan berlaku dalam persekitaran ketiadaan petunjuk baharu manakala pelabur akan memberi tumpuan kepada ucapan Pengerusi Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) Jerome Powell malam ini," katanya kepada Bernama.

Leong berkata secara teknikalnya, FBM KLCI telah menurun selepas mencatatkan peningkatan sebelumnya.

Bagaimanapun, indeks utama mungkin didagangkan dalam mod penyatuan dengan paras rintangan segera pada 1,560 dan paras sokongan ditambat pada 1,520.

Antara kaunter wajaran tinggi, MRDIY merosot 3.0 sen kepada RM1.48, Public Bank jatuh 7.0 sen kepada RM4.16, CIMB menguncup 10 sen kepada RM6.56, Axiata berkurangan 4.0 sen kepada RM2.63 dan Telekom Malaysia susut 8.0 sen kepada RM6.02.

Bagi saham aktif, SNS Network menokok 4.0 sen kepada 37 sen, Zen Tech meningkat 0.5 sen kepada 2.0 sen, Velesto berkurangan 0.5 sen kepada 29.5 sen, bagaimanapun Bumi Armada menambah 1.5 sen kepada 59.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 55.69 mata kepada 11,584.77, Indeks FBMT 100 berkurangan 59.10 mata kepada 11,221.82 dan Indeks FBM Emas Shariah susut 20.12 mata kepada 11,713.83.

Sementara itu, Indeks FBM 70 melonjak 0.79 mata mata kepada 16,229.43, dan Indeks FBM ACE naik 6.95 mata kepada 4,954.75.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan jatuh 208.59 mata kepada 17,151.85, Indeks Tenaga menambah 9.12 mata kepada 966.04, Indeks Perladangan melonjak 0.51 mata kepada 7,311.16 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 0.07 kepada 179.91.

Jumlah dagangan Pasaran Utama merosot kepada 1.99 bilion unit bernilai RM2.48 bilion daripada 2.22 bilion unit bernilai RM2.34 bilion pada Selasa.

Jumlah dagangan waran jatuh kepada 1.05 bilion unit bernilai RM126.96 juta daripada 1.31 bilion unit bernilai RM165.26 juta sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran ACE melonjak kepada 1.19 bilion saham bernilai RM265.31 juta berbanding 963.81 juta saham bernilai RM308.31 juta semalam.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 265.50 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama; produk dan perkhidmatan perindustrian (402.55 juta); pembinaan (211.88 juta); teknologi (173.42 juta); SPAC (tiada); perkhidmatan kewangan (104.67 juta); hartanah (322.46 juta); perladangan (62.78 juta); REIT (9.78 juta); dana tertutup (35,300); tenaga (263.38 juta); penjagaan kesihatan (69.41 juta); telekomunikasi dan media (34.43 juta); pengangkutan dan logistik (38.99 juta); serta utiliti (32.72 juta).

-BERNAMA

Berita Harian X