Selasa, 2 April 2024 | 6:38pm
Kaunter untung mengatasi rugi iaitu 583 berbanding 506 - Gambar hiasan
Kaunter untung mengatasi rugi iaitu 583 berbanding 506 - Gambar hiasan

Bursa Malaysia meningkat tiga hari berturut-turut

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia mengakhiri dagangan Selasa dengan lebih tinggi bagi hari ketiga, didorong oleh sentimen positif yang turut ketara di pasaran serantau, kata penganalisis.

Pada 5 petang, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menokok 3.97 mata atau 0.25 peratus kepada 1,547.99 daripada 1,544.02 yang dicatatkan semalam.

Indeks petunjuk utama itu dibuka susut 0.49 mata kepada 1,543.53 dan bergerak dalam lingkungan 1,540.77 hingga 1,550.99 sepanjang sesi dagangan.

Di pasaran meluas, kaunter untung mengatasi rugi iaitu 583 berbanding 506 dengan 446 kaunter lain tidak berubah, 748 tidak diniagakan dan 13 lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan meningkat kepada 4.15 bilion unit bernilai RM2.81 bilion daripada 3.16 bilion unit bernilai RM2.13 bilion pada Isnin.

Naib Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng, berkata pasaran utama serantau meningkat, didahului oleh saham-saham di Hong Kong berikutan belian ketara saham Xiaomi selepas syarikat elektronik mula menerima pesanan bagi kenderaan elektriknya yang baharu dilancarkan.

Di pasaran komoditi, minyak mentah Brent yang juga penanda aras global, kekal meningkat dan memberi peluang kepada pelabur yang berminat mendapatkan keuntungan dalam tempoh singkat.

"Kami mengekalkan pendirian optimis namun berhati-hati terhadap (prospek) pasaran saham tempatan, didorong oleh penilaian baik, peningkatan jumlah dagangan dan sokongan berterusan daripada institusi tempatan di tengah-tengah kemungkinan berlakunya aktiviti pengambilan untung.

"Sekiranya indeks petunjuk utama itu melepasi paras rintangan 1,557 bagi tempoh lebih lama, kami menjangkakan keadaan terus cenderung meningkat," katanya kepada Bernama.

Pada masa ini, Pak Leng berkata firma pembrokeran itu mengekalkan sasaran mingguan FBM KLCI pada julat 1,527 hingga 1,557.

Saham wajaran tinggi menyaksikan Sime Darby naik 9.0 sen kepada RM2.68; Petronas Dagangan meraih 48 sen kepada RM22.28; Telekom Malaysia menokok 11.0 sen kepada RM6.10; YTL Power International menambah 6.0 sen kepada RM3.97 manakala MRDIY meningkat 2.0 sen kepada RM1.51.

Bagi saham aktif, Alpha IVF Group menokok setengah sen kepada 33 sen, Ahmad Zaki Resources menambah 3.0 sen kepada 25 sen; Widad susut setengah sen kepada 8.0 sen; SNS mengukuh 4.0 sen kepada 33 sen manakala Zantat naik 1.5 sen kepada 50.5 sen.

Di papan indeks menyaksikan Indeks FBM Emas menambah 31.83 mata kepada 11,640.46; Indeks FBMT 100 meningkat 30.97 mata kepada 11,280.93; Indeks FBM Emas Shariah naik 53.06 mata kepada 11,733.95 manakala Indeks FBM 70 melonjak 52.88 mata kepada 16,228.64 dan Indeks FBM ACE naik 45.72 mata kepada 4,947.80.

Mengikut sektor pula, Indeks Perkhidmatan Kewangan meraih 25.15 mata kepada 17,360.44 dan Indeks Tenaga menambah 4.37 mata kepada 956.92; tetapi Indeks Perladangan susut 5.77 mata kepada 7,310.65 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 0.21 mata kepada 179.84.

Sementara itu, jumlah dagangan di Pasaran Utama menambah kepada 2.22 bilion unit bernilai RM2.34 bilion berbanding 2.03 bilion unit bernilai RM1.87 bilion pada Isnin.

Jumlah dagangan melonjak kepada 1.31 bilion unit bernilai RM165.26 juta berbanding 325.93 juta unit bernilai RM31.04 juta semalam.

Selain itu, jumlah dagangan Pasaran ACE meningkat kepada 963.81 juta saham bernilai RM308.31 juta daripada 802.35 juta saham bernilai RM229.63 juta sebelumnya.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang sebanyak 316.62 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama manakala produk dan perkhidmatan perindustrian (466.69 juta); pembinaan (370.85 juta); teknologi (146.50 juta); SPAC (sifar); perkhidmatan kewangan (87.11 juta); hartanah (375.33 juta); perladangan (51.37 juta); REIT (21.57 juta); dana tertutup (45,000); tenaga (134.73 juta); penjagaan kesihatan (86.27 juta); telekomunikasi dan media (27.04 juta); pengangkutan dan logistik (60.77 juta); dan utiliti (79.00 juta).

-BERNAMA

Berita Harian X