Selasa, 26 March 2024 | 8:07pm
Gambar fail. Bursa Malaysia. - NSTP/ASYRAF HAMZAH
Gambar fail. Bursa Malaysia. - NSTP/ASYRAF HAMZAH

Belian saat akhir, Bursa Malaysia ditutup tinggi sedikit

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup tinggi pada Selasa, disokong oleh aktiviti belian pada saat-saat akhir dalam saham mewah yang diterajui oleh Maybank, MISC, dan Petronas Chemicals, dalam keadaan prestasi lemah kebanyakan bursa serantau.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 0.88 mata kepada 1,538.42 daripada 1,537.54 semasa ditutup pada Isnin.

Indeks petunjuk pasaran dibuka rendah 1.48 mata kepada 1,536.06 dan bergerak dalam julat kecil antara 1,532.07 dan 1,540.51 sepanjang hari.

Di pasaran lebih luas, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 570 berbanding 472, manakala 491 kaunter tidak berubah, 807 tidak diniagakan dan 47 yang lain digantung dagangan.

Jumlah dagangan menokok kepada 3.83 bilion unit bernilai RM3.04 bilion daripada 3.59 bilion unit bernilai RM2.49 bilion pada Isnin.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata sentimen semasa secara keseluruhan di pasaran saham kekal berhati-hati.

"Pelabur sedang menantikan maklumat terbaru statistik utama di Amerika Syarikat (AS), terutamanya data inflasi Perbelanjaan Penggunaan Peribadi yang diunjurkan kekal stabil pada 2.4 peratus untuk Februari.

"Pada asasnya, angka inflasi ini akan mempengaruhi keputusan Rizab Persekutuan AS mengenai tempoh kepada sebarang potensi pelarasan kadar faedah, sebagai faktor penting yang mendorong sentimen positif pelabur," katanya.

Selain itu, katanya kadar inflasi Malaysia bagi Februari, iaitu pada 1.8 peratus tahun ke tahun, melebihi anggaran konsensus sebanyak 1.4 peratus, dan mungkin menunjukkan pendirian berwaspada yang tinggi dalam kalangan pelabur dan pengguna berhubung dengan matlamat perbelanjaan mereka pada masa depan.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank menambah 7.0 sen kepada RM9.69, Petronas Chemicals meningkat 5.0 sen kepada RM6.83, Public Bank naik 1.0 sen kepada RM4.25, manakala CIMB Group tidak berubah pada RM6.50 dan Tenaga Nasional menyusut 2.0 sen kepada RM11.48.

Bagi saham aktif, Sapura Energy menokok 1.0 sen kepada 5.0 sen, TCS Group menambah 6.5 sen kepada 19.5 sen, manakala TWL Holdings, Fitters Diversified dan Lambo Group masing-masing tidak berubah pada 3.0 sen, 5.5 sen dan 3.0 sen, manakala Wentel berkurangan 2.0 sen sen kepada 33 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 20.60 mata kepada 11,561.60, Indeks FBMT 100 menambah 17.67 mata kepada 11,206.32, Indeks FBM Emas Syariah menokok 34.53 mata kepada 11,665.77, Indeks FBM 70 meningkat 71.68 mata kepada 16,101.56, dan Indeks FBM ACE menambah 29.15 mata kepada 4,910.02.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan meningkat 28.08 mata kepada 7,344.52, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menambah 0.90 mata kepada 179.52, dan Indeks Perkhidmatan Kewangan meraih 41.10 mata kepada 17,220.04.

Sementara itu, Indeks Tenaga berkurangan 1.12 mata kepada 938.25.

Jumlah dagangan Pasaran Utama menokok kepada 2.39 bilion unit bernilai RM2.69 bilion daripada 2.36 bilion unit bernilai RM2.26 bilion pada Isnin.

Jumlah dagangan waran naik kepada 717.87 juta unit bernilai RM112.12 juta daripada 585.33 juta unit bernilai RM82.39 juta semalam.

Jumlah dagangan Pasaran ACE merosot kepada 706.18 juta saham bernilai RM226.65 juta daripada 777.06 juta saham bernilai RM207.82 juta sebelumnya.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 303.53 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (503.76 juta); pembinaan (232.46 juta); teknologi (176.33 juta); SPAC (sifar); perkhidmatan kewangan (103.09 juta); hartanah (511.87 juta); perladangan (93.65 juta); REIT (16.04 juta), dana tertutup (31,200); tenaga (239.59 juta); penjagaan kesihatan (66.14 juta); telekomunikasi dan media (34.82 juta); pengangkutan dan logistik (40.39 juta); dan utiliti (66.55 juta). – Bernama

Berita Harian X