Khamis, 21 March 2024 | 6:34pm
Kaunter untung mengatasi rugi iaitu 631 berbanding 451 - Gambar hiasan
Kaunter untung mengatasi rugi iaitu 631 berbanding 451 - Gambar hiasan

Bursa Malaysia melonjak semula disokong belian saham murah

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia yang mencatat penurunan selama dua hari berturut-turut sebelum ini, kembali meningkat sewaktu mengakhiri dagangan Khamis susulan aktiviti memburu saham-saham berharga rendah.

Pada 5 petang, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 5.62 mata kepada 1,541.41 daripada 1,535.79, semalam.

Indeks penanda aras itu yang dibuka mengukuh 3.33 mata kepada 1,539.12, bergerak dalam jajaran 1,534.66 hingga 1,542.33 sepanjang dagangan hari ini.

Sentimen pasaran adalah positif dengan kaunter untung mengatasi rugi iaitu 631 berbanding 451, manakala 466 kaunter tidak berubah, 788 tidak diniagakan dan 11 lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan meningkat kepada 4.02 bilion unit bernilai RM2.94 bilion daripada 3.82 bilion unit bernilai RM2.66 bilion, semalam.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng, berkata indeks-indeks utama serantau kebanyakannya ditutup tinggi, didorong oleh pelaporan pendapatan korporat syarikat-syarikat teknologi China yang lebih tinggi ketika Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) memutuskan untuk mengekalkan kadar faedah dan memberi petunjuk melaksanakan sekurang-kurangnya tiga pengurangan kadar pada 2024.

Selain itu, beliau berkata kerajaan China turut mengumumkan langkah-langkah rangsangan baharu bagi menyokong ekonomi.

Di peringkat tempatan, Pak Leng secara berhati-hati menjangkakan prospek lebih optimis bagi pasaran ini di tengah-tengah ketidaktentuan.

"Bagaimanapun, kami mengekalkan pandangan jangka panjang yang positif, disokong oleh penilaian lebih menarik, pelaporan pendapatan korporat yang mantap dan keadaan ekonomi yang terus pulih. Berikutan itu, kami menjangkakan indeks penanda aras itu untuk bergerak dalam jajaran 1,540 hingga 1,550 pada tempoh-tempoh menjelang hujung minggu ini," katanya kepada Bernama.

Bagi saham wajaran tinggi, CIMB menokok tujuh sen kepada RM6.55; Tenaga Nasional dan Petronas Chemicals masing-masing naik empat sen kepada RM11.54 dan RM6.87 manakala Maybank dan Public Bank turun dua sen kepada RM9.55 dan RM4.22.

Saham aktif menyaksikan Evergreen dan SP Setia meraih enam sen kepada 51 sen dan RM1.26; Minetech menambah 2.5 sen kepada 16 sen; Wentel menokok 3.0 sen kepada 36 sen manakala Top Glove turun 4.5 sen kepada 81.5 sen.

Di papan indeks pula, Indeks FBM Emas menambah 51.53 mata kepada 11,536.49 dan Indeks FBMT 100 menambah 47.02 kepada 11,185.90.

Indeks FBM Emas Shariah meningkat 70.28 mata kepada 11,632.30; Indeks FBM 70 melonjak 92.52 mata kepada 15,898.68 namun Indeks FBM ACE merosot 62.32 mata kepada 4,835.33.

Mengikut sektor pula, Indeks Perladangan menokok 57.94 mata kepada 7,352.67; Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menambah 1.78 mata kepada 179.02 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 19.50 mata kepada 17,143.68.

Bagaimanapun, Indeks Tenaga susut 2.06 mata kepada 934.61.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama meningkat kepada 2.34 bilion unit bernilai RM2.51 bilion daripada 2.07 bilion unit bernilai RM2.30 bilion, semalam.

Selain itu, jumlah waran berkurangan kepada 7.86 juta unit bernilai RM111.60 juta daripada 864.16 juta unit bernilai RM117.07 juta semalam.

Di Pasaran ACE, jumlah dagangan meningkat kepada 893.95 juta saham bernilai RM3.16 juta daripada 846.93 juta saham bernilai RM240.19 juta, sebelum ini.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang sejumlah 270.08 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama manakala produk dan perkhidmatan perindustrian (556.08 juta); pembinaan (192.82 juta); teknologi (228.50 juta); SPAC (sifar); perkhidmatan kewangan (92.93 juta); hartanah (533.28 juta); perladangan (40.86 juta); REIT (27.17 juta), dana tertutup (280,700); tenaga (147.59 juta); penjagaan kesihatan (96.02 juta); telekomunikasi dan media (41.46 juta); pengangkutan dan logistik (49.41 juta) serta utiliti (64.05 juta).

-BERNAMA

Berita Harian X