Rabu, 20 March 2024 | 8:47pm
Saranan BNM untuk mengurangkan tekanan terhadap ringgit telah menampakkan kesan positif - Gambar hiasan
Saranan BNM untuk mengurangkan tekanan terhadap ringgit telah menampakkan kesan positif - Gambar hiasan

Ringgit ditutup tinggi, pelabur tunggu prospek kadar faedah AS

KUALA LUMPUR: Ringgit diniagakan dalam julat kecil hari ini namun ditutup tinggi memandangkan pelabur menunggu prospek kadar faedah daripada mesyuarat semasa Rizab Persekutuan (Fed) AS yang berakhir lewat malam ini.

Pada 6 petang, ringgit menokok kepada 4.7335/7400 berbanding dolar AS daripada 4.7350/7390 semasa ditutup pada Selasa.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata peserta pasaran kekal pada sentimen tunggu dan lihat menjelang panduan mengenai kadar faedah terkini oleh Fed.

Di dalam negara, sentimen berkenaan didorong oleh laporan Bank Negara Malaysia (BNM) yang dikeluarkan hari ini.

"BNM turut menyatakan langkah yang perlu dilaksanakan pada masa depan adalah dengan menggubal pembaharuan ekonomi melalui pelaksanaan siri dasar seperti Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dan pembaharuan di pasaran buruh, serta mengukuhkan perlindungan sosial dan konsolidasi fiskal," kata Afzanizam mengenai laporan bank pusat itu kepada Bernama.

Gabenor BNM, Datuk Abdul Rasheed Ghaffour, berkata langkah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) membawa pulang pendapatan pelaburan asing sebagaimana saranan BNM untuk mengurangkan tekanan terhadap ringgit telah menampakkan kesan positif, memberikan kesan serta-merta dan mengukuhkan permintaan terhadap ringgit sepanjang Februari.

Timbalan Gabenor BNM, Datuk Marzunisham Omar, pula berkata Malaysia tidak akan menghadapi krisis imbangan pembayaran kerana negara sentiasa mencatatkan lebihan akaun semasa secara konsisten.

Pada penutup dagangan, ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.1207/1252 daripada 3.1420/1451 pada Selasa dan naik berbanding euro kepada 5.1306/1377 daripada 5.1318/1361 sebelumnya.

Bagaimanapun, ringgit susut berbanding pound Britain kepada 6.0082/0165 daripada 5.9992/6.0043.

Ringgit turut diniagakan lebih tinggi berbanding mata wang ASEAN lain.

Ia menokok berbanding baht Thailand kepada 13.0821/1048 daripada 13.1171/1354 semasa ditutup pada Selasa, meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.5204/5255 daripada 3.5249/5281 dan naik berbanding peso Filipina kepada 8.43/8.45 berbanding 8.46/8.48 sebelum ini.

Mata wang tempatan mencatat perubahan kecil berbanding rupiah Indonesia kepada 301.0/301.5 daripada 301.2/301.6.

-BERNAMA

Berita Harian X