Khamis, 14 March 2024 | 10:58pm
Kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 513 berbanding 478 - NSTP/ASWADI ALIAS
Kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 513 berbanding 478 - NSTP/ASWADI ALIAS

Bursa Malaysia melonjak disokong belian lewat saham terpilih

KUALA LUMPUR: Belian lewat dalam saham produk dan perkhidmatan terpilih serta kaunter perladangan membantu Bursa Malaysia ditutup pada paras tertinggi intra harinya, di tengah-tengah sentimen bercampur-campur di bursa serantau, kata peniaga.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 5.62 mata kepada 1,543.75 daripada paras penutup 1,538.13 pada Rabu.

Indeks petunjuk pasaran itu yang dibuka rendah turun 2.53 mata kepada 1,535.60, susut ke paras terendahnya pada 1,533.80 semasa sesi awal dagangan.

Di keseluruhan pasaran, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 513 berbanding 478, manakala 493 kaunter tidak berubah, 830 tidak diniagakan dan 26 yang lain digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 4.34 bilion unit bernilai RM2.76 bilion daripada 4.18 bilion unit bernilai RM2.73 bilion pada Rabu.

Petronas Chemicals dan Sime Darby Plantation adalah antara penyumbang utama kepada kenaikan indeks petunjuk pasaran hari ini, meningkat 6.0 sen setiap satu masing-masing kepada RM6.87 dan RM4.39, menyumbang sejumlah 1.49 mata.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng, berkata FBM KLCI ditutup tinggi sedikit apabila pelabur merebut peluang untuk membeli saham perladangan pada harga rendah susulan penjualan besar-besaran pada Rabu.

"Indeks utama serantau ditutup bercampur-campur hari ini berikutan isyarat yang bercampur-campur daripada Wall Street semalaman. Sentimen pelabur juga terjejas akibat daripada spekulasi bahawa Bank of Japan mungkin menimbang menamatkan kadar faedah negatifnya dalam mesyuarat akan datang," katanya kepada Bernama, hari ini.

Dari sudut lebih positif, Thong berkata, Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed AS) dijangka memulakan penurunan kadarnya pada Jun memandangkan inflasi yang semakin reda.

"Di bursa tempatan, kami menjangkakan sentimen pelabur kekal positif apabila peningkatan jumlah dagangan harian mencerminkan minat tinggi terhadap pasaran. Oleh itu, kami menjangkakan FBM KLCI diniagakan dalam jajaran 1,540 hingga 1,550 menuju ke hujung minggu," katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi lain, Maybank naik 3.0 sen kepada RM9.65, Public Bank meningkat 1.0 sen kepada RM4.23, Tenaga Nasional menokok 2.0 sen kepada RM11.56, CIMB tidak berubah pada RM6.70 dan IHH Healthcare berkurangan 3.0 sen kepada RM6.10.

Dalam kalangan kaunter cergas, Hong Seng dan TWL Holdings tidak berubah masing-masing pada 1.5 sen dan 3.5 sen, Eversendai turun 6.0 sen kepada 33 sen dan Pan Malaysia menokok setengah sen kepada 20.5 sen.

Sementara itu, Bursa Malaysia dalam makluman berkata jualan singkat di bawah jualan singkat intra hari (IDSS) bagi saham Comintel Corp digantung hari ini apabila Harga Akhir Sekuriti Diluluskan turun lebih daripada 15 peratus/15 Sen daripada Harga Rujukan.

"Jualan singkat di bawah IDSS hanya akan diaktifkan pada hari dagangan berikutnya, Jumaat, 15 Mac, 2024, pada 8:30 pagi," katanya.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 35.67 mata kepada 11,478.58, Indeks FBMT 100 meningkat 36.41 mata kepada 11,141.63, Indeks FBM Emas Shariah menokok 41.26 mata kepada 11,536.50, Indeks FBM 70 menambah 33.62 mata kepada 15,583.13 dan Indeks FBM ACE melonjak 21.16 mata kepada 4,727.58.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 5.79 mata kepada 17,241.36, Indeks Perladangan melonjak 40.56 mata kepada 7,315.76, Indeks Tenaga naik 11.27 mata kepada 917.77 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menambah 0.41 mata kepada 176.10.

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 3.0 bilion unit bernilai RM2.48 bilion daripada 2.91 bilion unit bernilai RM2.46 bilion pada Rabu.

Jumlah dagangan waran berkurangan kepada 697.25 juta unit bernilai RM91.47 juta daripada 707.51 juta unit bernilai RM85.01 juta.

Sementara itu, jumlah dagangan Pasaran ACE meningkat kepada 622.46 juta saham bernilai RM187.89 juta daripada 549.03 juta saham bernilai RM183.93 juta.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 300.37 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (351.25 juta); pembinaan (662.54 juta); teknologi (753.54 juta); SPAC (sifar); perkhidmatan kewangan (130.33 juta); hartanah (394.59 juta); perladangan (41.80 juta); REITs (6.89 juta), dana tertutup (3,200); tenaga (118.26 juta); penjagaan kesihatan (43.27 juta); telekomunikasi dan media (31.83 juta); pengangkutan dan logistik (116.83 juta); dan utiliti (51.18 juta).

-BERNAMA

Berita Harian X