Rabu, 13 March 2024 | 8:24pm
Aktiviti pengambilan untung berterusan dalam saham wajaran tinggi yang diterajui oleh saham perladangan - Gambar hiasan
Aktiviti pengambilan untung berterusan dalam saham wajaran tinggi yang diterajui oleh saham perladangan - Gambar hiasan

Kenaikan empat hari berturut-turut Bursa Malaysia berakhir

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia mengakhiri kenaikan selama empat hari berturut-turut apabila ditutup rendah hari ini, didorong oleh aktiviti pengambilan untung yang berterusan dalam saham wajaran tinggi yang diterajui oleh saham perladangan, kata peniaga.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menyusut 16.43 mata kepada 1,538.13 daripada 1,554.56 semasa ditutup pada Selasa.

Indeks penanda aras itu yang dibuka rendah 11.05 mata kepada 1,543.51, bergerak antara 1,536.76 dan 1,544.74 sepanjang hari.

Bagaimanapun, di pasaran lebih luas, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 519 berbanding 478, manakala 516 kaunter tidak berubah, 801 tidak diniagakan dan 12 yang lain digantung dagangan.

Jumlah dagangan susut kepada 4.18 bilion unit bernilai RM2.73 bilion daripada 4.28 bilion unit bernilai RM2.93 bilion semalam.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng, berkata indeks serantau utama menyaksikan peningkatan berikutan kemasukan banyak dana global, manakala pelabur menantikan data inflasi Amerika Syarikat (AS) yang dijangka mempengaruhi tempoh pengurangan kadar Rizab Persekutuan AS.

"Dengan peningkatan sentimen pelabur, pembelian adalah dijangkakan, disokong oleh aliran masuk dana asing yang konsisten dan kukuh ke rantau ini, manakala peningkatan jumlah dagangan harian menandakan minat yang tinggi terhadap pasaran.

"Oleh itu, kami menyelaraskan julat sasaran FBM KLCI mingguan kami melebihi kepada 1,540 hingga 1,560, dengan paras rintangan segera pada 1,560 dan sokongan pada 1,520," katanya kepada Bernama hari ini.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank naik 10 sen kepada RM9.62, Public Bank menambah 1.0 sen kepada RM4.22, Tenaga Nasional meningkat 6.0 sen kepada RM11.54 manakala CIMB susut 2.0 sen kepada RM6.70 dan Petronas Chemicals berkurangan 11 sen kepada RM6.81.

Bagi saham aktif, Hong Seng dan Borneo Oil masing-masing tidak berubah pada 1.5 sen dan 1.0 sen, Pan Malaysia susut 2.5 sen kepada 20 sen manakala Eversendai meningkat 18.5 sen kepada 39 sen.

Sementara itu, dalam makluman hari ini, Bursa Malaysia mengumumkan pertukaran nama Comintel Corporation Bhd kepada Binastra Corporation Bhd berkuat kuasa 9 pagi Jumaat.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas rendah 68.26 mata kepada 11,443.18,Indeks FBMT 100 turun 76.47 mata kepada 11,105.22, Indeks FBM Emas Syariah berkurangan 36.15 mata kepada 11,495.24, Indeks FBM 70 meraih 66.62 mata kepada 15,549.51, dan Indeks ACE FBM berkurangan 15.59 mata kepada 4,706.42.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 207.45 mata kepada 17,235.57,Indeks Perladangan menyusut 81.40 mata kepada 7,275.20, Indeks Tenaga meningkat 9.46 mata kepada 906.50 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.30 mata kepada 175.69.

Jumlah dagangan Pasaran Utama menokok kepada 2.91 bilion unit bernilai RM2.46 bilion daripada 2.65 bilion unit bernilai RM2.65 bilion pada Selasa.

Jumlah dagangan waran meningkat kepada 706.29 juta unit bernilai RM84.93 juta daripada 1.08 bilion unit bernilai RM126.67 juta semalam.

Sementara itu, jumlah dagangan Pasaran ACE menokok kepada 549.03 juta saham bernilai RM183.93 juta daripada 526.58 juta saham bernilai RM148.18 juta sebelum ini.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 619.52 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (467.10 juta); pembinaan (394.94 juta); teknologi (599.84 juta); SPAC (sifar); perkhidmatan kewangan (137.43 juta); hartanah (371.74 juta); perladangan (47.57 juta); REIT (11.63 juta), dana tertutup (114,900); tenaga (92.94 juta); penjagaan kesihatan (43.71 juta); telekomunikasi dan media (20.98 juta); pengangkutan dan logistik (35.89 juta); dan utiliti (71.05 juta).

-BERNAMA

Berita Harian X