Selasa, 12 March 2024 | 6:55pm
Kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 505 berbanding 484 - NSTP/ASWADI ALIAS
Kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 505 berbanding 484 - NSTP/ASWADI ALIAS

Bursa Malaysia ditutup tinggi empat hari berturut-turut

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia meneruskan kenaikannya untuk ditutup tinggi bagi hari keempat berturut-turut hari ini disokong oleh belian berterusan dalam kebanyakan saham wajaran tinggi di tengah-tengah pemulihan sentimen di pasaran serantau, kata peniaga.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 9.85 mata kepada 1,554.56 daripada paras penutup 1,544.71 pada Isnin.

Indeks petunjuk pasaran itu yang dibuka tinggi naik 0.24 mata kepada 1,544.95, bergerak antara paras 1,541.36 dan 1,556.71 sepanjang hari dagangan.

Di keseluruhan pasaran, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 505 berbanding 484, manakala 479 kaunter tidak berubah, 802 tidak diniagakan dan 12 yang lain digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 4.28 bilion unit bernilai RM2.93 bilion daripada 3.64 bilion unit bernilai RM2.71 bilion pada Isnin.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng, berkata indeks utama serantau mencatatkan kenaikan berikutan kemasukan besar-besaran dana global ketika pelabur menunggu pengumuman data inflasi Amerika Syarikat (AS) yang akan mempengaruhi keputusan penurunan kadar faedah Rizab Persekutuan AS.

"Dengan peningkatan sentimen pelabur, belian dijangka berlaku, disokong oleh aliran masuk dana asing yang kukuh dan konsisten ke rantau ini, manakala peningkatan jumlah dagangan harian membayangkan minat tinggi terhadap pasaran.

"Justeru, kami menyelaraskan sasaran FBM KLCI mingguan kami kepada 1,540-1,560, dengan paras rintangan segera pada 1,560 dan paras sokongan pada 1,520," katanya kepada Bernama, hari ini.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank dan Public Bank meningkat 1.0 sen setiap satu masing-masing kepada RM9.83 dan RM4.31, CIMB naik 5.0 sen kepada RM6.72, Petronas Chemicals menokok 7.0 sen kepada RM6.92 dan Tenaga Nasional melonjak 24 sen kepada RM11.48.

Dalam kalangan kaunter cergas, CTOS turun 20 sen kepada RM1.25, Hong Seng susut setengah sen kepada 1.5 sen manakala Pan Malaysia meningkat 8.5 sen kepada 22.5 sen dan TWL Holdings tidak berubah pada 3.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 58.06 mata kepada 11,511.44, Indeks FBMT 100 meningkat 61.18 mata kepada 11,181.69, Indeks FBM Emas Syariah menokok 80.72 mata kepada 11,531.39, Indeks FBM 70 melonjak 44.60 mata kepada 15,482.89 dan Indeks FBM ACE naik 23.37 mata kepada 4,722.01.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 38.37 mata kepada 17,443.02, Indeks Perladangan naik 53.66 mata kepada 7,356.60, Indeks Tenaga menokok 2.43 mata kepada 897.04 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menambah 0.58 mata kepada 175.99.

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 2.65 bilion unit bernilai RM2.65 bilion daripada 2.35 bilion unit bernilai RM2.45 bilion pada Isnin.

Jumlah dagangan waran menokok kepada 1.08 bilion unit bernilai RM126.67 juta daripada 728.69 juta unit bernilai RM100.23 juta.

Sementara itu, jumlah dagangan Pasaran ACE meningkat kepada 526.58 juta saham bernilai RM148.18 juta daripada 541.56 juta saham bernilai RM164.55 juta sebelumnya.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 529.98 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (413.07 juta); pembinaan (92.07 juta); teknologi (680.38 juta); SPAC (sifar); perkhidmatan kewangan (137.12 juta); hartanah (387.74 juta); perladangan (62.04 juta); REITs (14.72 juta), dana tertutup (17,600); tenaga (139.04 juta); penjagaan kesihatan (66.31 juta); telekomunikasi dan media (30.31 juta); perladangan dan logistik (37.66 juta); dan utiliti (62.68 juta).

-BERNAMA

Berita Harian X