Khamis, 7 March 2024 | 7:29pm
Gambar fail. - NSTP /NUR IQBAL SYAKIR
Gambar fail. - NSTP /NUR IQBAL SYAKIR

Ringgit kekal dalam aliran meningkat berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini selepas Indeks Dolar AS (DXY) turun kerana menjangkakan dasar monetari akan menurunkan kadar faedah di Amerika Syarikat (AS) tahun ini, kata seorang pakar ekonomi.

Pada 6 petang, ringgit meningkat kepada 4.7025/7080 berbanding dolar AS daripada 4.7295/7350 semasa ditutup pada Rabu.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Afzanizam Abdul Rashid berkata pengerusi Rizab Persekutuan (Fed) AS Jerome Powell dalam keterangan kongres dua hari bermula semalam memberi petunjuk bahawa kadar faedah akan turun pada satu ketika pada masa hadapan.

Pada masa sama, Fed perlu yakin bahawa inflasi akan mencapai sasaran ditetapkan, iaitu dua peratus, katanya.

Sementara itu, di pasaran tempatan, Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini mengumumkan keputusannya untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.00 peratus semasa mesyuaratnya awal hari ini.

"Bank pusat mungkin akan terus menstabilkan kadar berkenaan sepanjang tahun berdasarkan keputusan MPC terkini," kata Mohd Afzanizam kepada Bernama.

Dalam pada itu, ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Mata wang tempatan lebih tinggi berbanding pound British kepada 5.9952/6.0022 daripada 6.0207/0277 pada Rabu, meningkat berbanding euro kepada 5.1257/1317 daripada 5.1438/1498 bagaimanapun susut berbanding yen Jepun kepada 3.1778/1817 daripada 3.1604/1643 sebelumnya.

Selain itu, ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding mata wang ASEAN lain.

Ringgit melonjak berbanding baht Thailand kepada 13.2130/2340 daripada 13.2479/2704 ketika ditutup pada Rabu dan naik berbanding dolar Singapurra kepada 3.5201/5247 berbanding 3.5268/5312 sebelumnya, menambah berbanding rupiah Indonesia kepada 300.3/300.8 daripada 301.1/301.6 dan meningkat berbanding peso Filipina kepada 8.42/8.43 daripada 8.46/8.48 semalam. - BERNAMA

Berita Harian X