Khamis, 7 March 2024 | 7:26pm
Gambar fail - NSTP/NABILA ADLINA AZAHARI
Gambar fail - NSTP/NABILA ADLINA AZAHARI

Bursa Malaysia ditutup tinggi, OPR kekal tidak berubah

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup tinggi hari ini memandangkan minat risiko yang meningkat selepas Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) yang tidak berubah pada 3.00 peratus, sekali gus adalah langkah yang dilihat menyokong ekonomi domestik.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menokok 4.32 mata kepada 1,535.83 daripada 1,531.51 semasa ditutup semalam.

Indeks penanda aras yang dibuka meningkat 0.19 mata kepada 1,531.70, bergerak dalam julat kecil antara 1,531.70 dan 1,539.60 sepanjang hari.

Di pasaran lebih luas, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 546 berbanding 452, manakala 430 kaunter tidak berubah, 847 tidak diniagakan dan 29 digantung dagangan.

Bagaimanapun, jumlah dagangan susut kepada 3.55 bilion unit bernilai RM2.60 bilion daripada 3.65 bilion unit bernilai RM2.66 bilion semalam.

Ketua Penyelidikan dan Penasihat Kekayaan, Pengurus Portfolio di UOB Kay Hian Wealth Advisors Mohd Sedek Jantan berkata pasaran telah didorong oleh keputusan bank pusat Malaysia untuk mengekalkan OPR pada 3.00 peratus, sejajar dengan ramalan penganalisis.

"Pada masa akan datang, pengumuman esok mengenai senarai gaji bukan ladang AS, kadar pengangguran dan data upah dijangka seiring dengan jangkaan pasaran, seterusnya mewajarkan Rizab Persekutuan (Fed) AS untuk mempertimbangkan pengurangan kadar faedah pada separuh kedua tahun ini," katanya kepada Bernama.

Pengerusi Fed Jerome Powell dalam keterangan kongres selama dua hari bermula Rabu, dilaporkan berkata kadar faedah akan dikurangkan tahun ini, namun kos pinjaman akan kekal tinggi pada masa akan datang.

Mohd Sedek berkata China selaku rakan dagang utama Malaysia mencatat pertumbuhan eksport dan import yang kukuh bagi Februari, dengan pertumbuhan eksport meningkat kepada 7.1 peratus tahun ke tahun dan import berkembang sebanyak 3.5 peratus.

"Kami menjangkakan eksport Malaysia ke China semakin baik berikutan penyusutan yang dilihat pada Januari, sejajar dengan perkembangan positif ini," katanya.

Dalam kalangan kaunter wajaran tinggi, Maybank menambah enam sen kepada RM9.70, CIMB meningkat satu sen kepada RM6.52 manakala Public Bank dan Tenaga Nasional masing-masing tidak berubah pada RM4.30 dan RM11.16. Petronas Chemicals pula susut dua sen kepada RM6.94.

Bagi saham aktif, Powerwell Holdings meningkat 5.5 sen kepada 36.5 sen, Econpile menambah 4.5 sen kepada RM4.10 dan Velesto Energy naik satu sen kepada 28 sen . Widad Group dan TWL Holdings masing-masing tidak berubah pada 9.5 sen dan 3.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meraih 32.26 mata kepada 11,392.99, Indeks FBMT 100 menambah 29.02 mata kepada 11,055.46 dan Indeks FBM Emas Syariah meningkat 35.71 mata kepada 11,401.64. Indeks FBM 70 naik 31.67 mata kepada 15,343.27 dan Indeks FBM ACE menokok 23.84 mata kepada 4,705.28.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 32.02 mata kepada 17,263.84, Indeks Perladangan meraih 47.77 mata kepada 7,267.81 dan Indeks Tenaga meningkat 1.34 mata kepada 897.21. Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.64 mata kepada 175.05.

Jumlah dagangan Pasaran Utama menokok kepada 1.86 bilion unit bernilai RM2.31 bilion daripada 1.70 bilion unit bernilai RM2.34 bilion pada Rabu.

Jumlah dagangan waran berkurangan kepada 1.04 bilion unit bernilai RM137.33 juta daripada 1.30 bilion unit bernilai RM174.73 juta sebelum ini.

Jumlah dagangan Pasaran ACE susut kepada 624.71 juta saham bernilai RM146.57 juta daripada 642.46 juta saham bernilai RM151.44 juta semalam.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang sebanyak 247.55 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (319.63 juta); pembinaan (182.93 juta); teknologi (168.32 juta); SPAC (sifar); perkhidmatan kewangan (124.16 juta); hartanah (378.82 juta); perladangan (107.61 juta); REIT (9.20 juta), dana tertutup (11,200); tenaga (143.55 juta); penjagaan kesihatan (55.17 juta); telekomunikasi dan media (20.89 juta); pengangkutan dan logistik (20.09 juta); dan utiliti (78.06 juta).

- BERNAMA

Berita Harian X