Rabu, 6 March 2024 | 8:27pm
Gambar fail. - NSTP/AIZUDDIN SAAD
Gambar fail. - NSTP/AIZUDDIN SAAD

Ringgit melantun semula ditutup lebih tinggi

KUALA LUMPUR: Ringgit melantun semula untuk ditutup tinggi sedikit berbanding dolar AS hari ini apabila Indeks Dolar AS (DXY) menyusut di tengah-tengah sentimen berhati-hati di Amerika Syarikat (AS), kata seorang ahli ekonomi.

Pada 6 petang, ringgit meningkat kepada 4.7295/7350 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.7325/7380 pada Selasa.

Ketua ahli ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata para pelabur mengambil pendekatan berhati-hati menjelang keterangan pengerusi Rizab Persekutuan AS Jerome di hadapan Kongres AS lewat malam ini. Selain itu, angka pekerjaan ADP AS yang dijadual dikeluarkan hari ini juga akan menjadi faktor utama memacu sentimen pasaran.

"Konsensus mengunjurkan perubahan pekerjaan ADP mencecah 149,000 pada Februari (Januari: 107,000) dengan tawaran pekerjaan pada 8.8 juta pada Januari tahun ini berbanding 9.03 juta Disember lalu," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, ringgit diniagakan rendah berbanding kumpulan mata wang utama lain.

Unit tempatan turun berbanding pound Britain kepada 6.0207/0277 daripada 6.0027/0097 pada Selasa, susut berbanding euro kepada 5.1438/1498 daripada 5.1348/1407 dan jatuh berbanding yen Jepun kepada 3.1604/1643 daripada 3.1466/1505 sebelumnya.

Begitu juga, ringgit diniagakan rendah berbanding mata wang utama negara-negara Asean lain.

Unit tempatan jatuh berbanding baht Thai kepada 13.2479/2704 daripada paras penutup 13.2119/2320 pada Selasa dan susut berbanding dolar Singapura kepada 3.5268/5312 daripada 3.5209/5253.

Ringgit juga berkurangan berbanding rupiah Indonesia kepada 301.1/301.6 daripada 300.0/300.5 dan turun berbanding peso Filipina kepada 8.46/8.48 daripada 8.45/8.47. - BERNAMA

Berita Harian X