Jumaat, 1 March 2024 | 10:12am

Ringgit meneruskan aliran meningkat berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR: Ringgit meneruskan momentumnya untuk dibuka tinggi berbanding dolar AS hari ini dan meningkat berbanding sekumpulan mata wang utama lain serta mata wang ASEAN yang disokong oleh kenyataan Bank Negara Malaysia (BNM) mengenai penilaian mata wang tempatan itu.

Pada 9 pagi, ringgit naik kepada 4.7370/7410 berbanding dolar AS daripada 4.7400/7455 pada Khamis.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata bank pusat telah jelas menyatakan bahawa ringgit berada di bawah nilai sebenar.

"Saya menjangka ringgit akan terus meningkat hari ini berikutan mata wang tempatan itu telah berada dalam kedudukan terlebih jual untuk tempoh yang agak lama," katanya.

Sementara itu, peniaga ActivTrades Dyogenes Rodrigues Diniz berkata pergerakan menurun dolar AS berlaku selepas data tuntutan pengangguran awal dikeluarkan, yang lebih tinggi daripada jangkaan.

Tuntutan pengangguran Amerika Syarikat (AS) meningkat kepada 215,000 berbanding unjuran konsensus sebanyak 209,000, langkah yang cenderung menjadi negatif kepada dolar, katanya.

"Petunjuk lain yang menyokong ringgit berbanding dolar AS ialah Indeks Pengurus Pembelian (PMI) Chicago AS pada Februari, yang lebih rendah daripada jangkaan sebanyak 44 berbanding unjuran 48.1, yang memberi impak negatif kepada dolar AS," kata Diniz.

Dalam negara, ringgit diniagakan tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Mata wang tempatan meningkat berbanding pound kepada 5.9809/9860 daripada 6.0042/0111 semalam, mengukuh berbanding euro kepada 5.1212/1255 daripada 5.1434/1493 dan naik berbanding yen Jepun kepada 3.1532/1562 daripada 3.1642/1681 pada Khamis.

Ringgit turut mencatatkan prestasi lebih baik berbanding mata wang ASEAN lain.

Ia meningkat berbanding baht Thailand kepada 13.1965/2146 daripada 13.2140/2345 pada Khamis, naik berbanding dolar Singapura kepada 3.5198/5231 daripada 3.5257/5301 dan tinggi berbanding rupiah Indonesia kepada 301.3/301.7 daripada 301.5/302.0 sebelum ini.

Ringgit tidak berubah berbanding peso Filipina kepada 8.43/8.45 daripada 8.43/8.44 semalam.

– Bernama

Berita Harian X