Jumaat, 23 Februari 2024 | 8:52pm
Gambar fail.
Gambar fail.

Pasaran saham teruskan momentum kenaikan

KUALA LUMPUR: FBM KLCI meneruskan momentum meningkat untuk ditutup dengan lebih positif meskipun terdapat jualan menyeluruh memandangkan pelabur meneruskan pengambilan keuntungan dalam syarikat yang mencatat prestasi lebih kukuh berbanding jangkaan ketika musim pelaporan pendapatan syarikat.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meraih 3.62 mata kepada 1,549.11 berbanding 1,545.49 semasa ditutup pada Khamis, dengan kaunter utiliti YTL Corp, YTL Power dan Tenaga Nasional memacu aliran meningkat.

Indeks petunjuk pasaran dibuka meningkat 0.86 mata kepada 1,546.35 dan bergerak antara 1,544.18 dan 1,551.15 pada sepanjang sesi.

Kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 613 berbanding 448, manakala 458 kaunter tidak berubah, 795 tidak diniagakan dan 36 lain digantung dagangan.

Jumlah dagangan meningkat kepada 4.07 bilion unit bernilai RM3.21 bilion berbanding 3.72 bilion unit bernilai RM2.58 bilion semalam.

Ketua Penyelidikan dan Penasihat Kekayaan, Pengurus Portfolio di UOB Kay Hian Wealth Advisors, Mohd Sedek Jantan, berkata walaupun kekukuhan pasaran tempatan mungkin dilihat lemah berbanding prestasi pada Selasa, keyakinan pelabur tetap teguh.

FBM KLCI yang berada pada paras sokongan baharu 1555.59 pada Selasa, menggambarkan asas kukuh pasaran Malaysia, katanya sambil menambah trend penyusutan dalam sentimen pasaran hari ini adalah berikutan pelabur mendapatkan keuntungan secara aktif dalam saham-saham yang telah mengumumkan pendapatan mereka untuk 2023.

Bagaimanapun, beliau berkata, terdapat minat dalam sektor utiliti berikutan pengumuman pendapatan suku tahunan yang positif, dan peningkatan semula kaunter teknologi hari ini turut mencerminkan prestasi Nvidia yang mengagumkan, yang mendorong Purata Perindustrian Dow Jones Walls Street dan S&P 500 ke paras tertinggi.

"Setakat dagangan semalam, pembeli asing telah mengekalkan kedudukan belian bersih untuk hari keempat berturut-turut minggu ini," katanya kepada Bernama.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng, berkata FBM KLCI berjaya mengekalkan kedudukan di atas kesemua paras purata pergerakan eksponen (EMA) walaupun mengalami penyusutan semula sejak Rabu.

"Kecenderungan positif ini lebih didorong oleh EMA yang semakin baik, menunjukkan keteguhan yang berterusan," katanya.

Saham wajaran tinggi Bursa Malaysia seperti YTL Corp meningkat hampir 15 peratus atau 32 sen untuk ditutup pada paras tertinggi sepanjang masa RM2.47 dan YTL Power naik 6.3 peratus atau 24 sen kepada RM4.02 selepas mengumumkan prestasi pendapatan yang cemerlang.

Tenaga Nasional meningkat enam sen kepada RM11.28, Sime Darby naik empat sen kepada RM2.65 dan Hong Leong Bank menokok 12 sen kepada RM19.56.

Sementara itu, Petronas Chemicals menyusut 15 sen kepada RM6.95 dan Sime Darby Plantation berkurangan tujuh sen kepada RM4.43.

Bagi saham aktif, Hong Seng, TWL dan Widad masing-masing tidak berubah pada 2.0 sen, 4.0 sen dan 12.5 sen.

Powerwell menokok dua sen kepada 29 sen dan Notion berkurangan 1.5 sen kepada 44 sen selepas mencatat peningkatan selama beberapa hari.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 7.38 mata kepada 11,519.36 dan Indeks FBMT 100 naik 9.95 mata kepada 11,172.17.

Indeks FBM Emas Syariah berkurangan 40.83 mata kepada 11,561.78, Indeks FBM 70 menyusut 52.47 mata kepada 15,592.52 dan Indeks FBM ACE berkurangan 20.67 mata kepada 4,885.89.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan menokok 21.94 mata kepada 17,345.39, Indeks Utiliti meraih 47.93 mata kepada 1,576.04, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menyusut 0.68 mata kepada 177.85, Indeks Tenaga berkurangan 4.34 kepada 929.89, dan Indeks Perladangan turun 85.29 mata kepada 7,247.83.

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 2.59 bilion unit bernilai RM2.88 bilion daripada 2.30 bilion bernilai RM2.26 bilion pada Khamis.

Jumlah dagangan waran menyusut kepada 791.40 juta unit bernilai RM123.85 juta daripada 871.36 juta unit bernilai RM125.91 juta semalam.

Jumlah dagangan Pasaran ACE meningkat kepada 665.94 juta saham bernilai RM202.09 juta daripada 531.81 juta saham bernilai RM186.30 juta sebelum ini.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang sebanyak 354.20 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (493.65 juta); pembinaan (96.23 juta); teknologi (661.94 juta); SPAC (sifar); perkhidmatan kewangan (99.29 juta); hartanah (331.06 juta); perladangan (53.08 juta); REIT (19 juta), dana tertutup (36,900); tenaga (136.08 juta); penjagaan kesihatan (73.57 juta); telekomunikasi dan media (42.23 juta); pengangkutan dan logistik (26.66 juta); dan utiliti (202.22 juta). -- Bernama

Berita Harian X