Selasa, 20 Februari 2024 | 2:55pm
Gambar fail. - Reuters
Gambar fail. - Reuters

Ringgit di paras terendah 5 bulan, 4.793 berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR: Ringgit susut kepada 4.793 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada tengahari, paras harian terendah baharu dalam tempoh hampir lima bulan iaitu sejak 23 Oktober 2023.

Penganalisis pasaran berkata, mata wang tempatan diniagakan dengan sentimen berhati-hati menjelang pengeluaran minit mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) AS minggu ini.

Pada tengahari, mata wang tempatan berada di paras 4.793 berbanding dolar AS, susut 0.32 peratus berbanding penutup semalam.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid ketika dipetik Bernama, berkata walaupun pasaran AS ditutup semalam berikutan cuti umum, sentimen pasaran dipercayai masih terjejas akibat Indeks Harga Pengeluar (IHPR) AS Jumaat lalu yang lebih tinggi daripada jangkaan sebanyak 0.9 peratus pada Januari berbanding anggaran konsensus 0.6 peratus.

IHPR yang lebih tinggi menandakan inflasi lebih tinggi yang boleh menyebabkan peningkatan kadar faedah.

Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku keempat 2023 yang lebih rendah daripada jangkaan semasa diumumkan Jumaat lalu menunjukkan ekonomi Malaysia mudah terkesan dengan pusingan permintaan luaran.

"Sehubungan itu, data eksport yang positif akan meningkatkan harapan terhadap prospek yang lebih baik kepada ekonomi Malaysia tahun ini," kata Mohd Afzanizam kepada Bernama.

Berita Harian X