Khamis, 15 Februari 2024 | 8:05pm
Kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 557 berbanding 370 - Gambar hiasan
Kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 557 berbanding 370 - Gambar hiasan

Kebanyakan saham di Bursa Malaysia ditutup tinggi

KUALA LUMPUR: Saham di Bursa Malaysia ditutup kebanyakannya tinggi hari ini dengan pasaran mencatatkan momentum belian walaupun FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) ditutup 0.06 peratus lebih rendah.

Pada 5 petang, petunjuk pasaran FBM KLCI susut 0.95 mata kepada 1,528.38 daripada paras penutup 1,529.33 pada Rabu.

FBM KLCI dibuka rendah turun 0.04 mata kepada 1,529.29 dan bergerak antara paras 1,525.39 dan 1,532.66 sepanjang hari dagangan.

Di keseluruhan pasaran, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 557 berbanding 370 manakala 468 kaunter tidak berubah, 904 tidak diniagakan dan 10 yang lain digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 3.68 bilion unit bernilai RM2.28 bilion daripada 2.81 bilion unit bernilai RM1.93 bilion pada Rabu.

Pengarah Urusan SPI Asset Management, Stephen Innes, berkata kepada Bernama bursa tempatan dipengaruhi oleh peningkatan pasaran di Amerika Syarikat yang memberikan sedikit kelegaan kepada pasaran global.

Wall Street ditutup semalaman, melantun semula daripada penjualan besar-besaran yang disebabkan oleh inflasi baru-baru ini. Dow Jones Industrial Average naik 0.40 peratus untuk ditutup kepada 38,424.27, Nasdaq meningkat 1.30 peratus kepada 15,859.15 dan S&P500 menambah 0.96 peratus kepada 5,000.62.

Di bursa tempatan, CelcomDigi menerajui kaunter saham wajaran tinggi yang mencatatkan kerugian, turun tiga sen kepada RM4.23, diikuti Petronas Dagangan yang susut 30 sen kepada RM21.96 dan Sime Darby Plantation dan IOI Corporation yang jatuh empat sen setiap satu masing-masing kepada RM4.44 dan RM3.98.

Manakala Maybank tidak berubah pada RM9.40, Public Bank dan CIMB susut satu sen setiap satu masing-masing kepada RM4.39 dan RM6.36 dan Tenaga Nasional naik empat sen kepada RM11.10.

Dalam kalangan kaunter cergas, TWL tidak berubah pada 3.5 sen, Minetech naik dua sen kepada 17 sen, Widad meningkat satu sen kepada 13.5 sen, Sarawak Cable menokok 7.5 sen kepada 23.5 sen dan Sarawak Consolidated menambah empat sen kepada 41 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 7.80 mata kepada 11,366.66, Indeks FBMT 100 meningkat 2.94 mata kepada 11,018.22, Indeks FBM 70 menambah 44.30 mata kepada 15,359.23, Indeks FBM Emas Shariah menokok 22.36 mata kepada 11,405.76 dan Indeks FBM ACE naik 53.96 mata kepada 4,896.55.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 0.95 mata kepada 175.04 tetapi Indeks Hartanah susut 0.53 mata kepada 921.40, Indeks Perladangan jatuh 19.37 mata kepada 7,216.08 dan Indeks tenaga turun 1.37 mata kepada 889.34.

Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 13.52 mata kepada 17,141.85.

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 2.33 bilion unit bernilai RM1.99 bilion daripada 1.51 bilion unit bernilai RM1.69 bilion pada Rabu.

Jumlah dagangan waran susut kepada 669.04 juta unit bernilai RM105.40 juta daripada 794.82 juta unit bernilai RM109.98 juta.

Jumlah dagangan Pasaran ACE menokok kepada 653.41 juta unit bernilai RM174.73 juta unit daripada 485.38 juta unit bernilai RM132.17 juta sebelumnya.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 242.12 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (763.9 juta); pembinaan (130.28 juta); teknologi (350.11 juta); SPAC (sifar); perkhidmatan kewangan (78.83 juta); hartanah (428.0 juta); perladangan (21.25 juta); REITs (15.84 juta), dana tertutup (31,700); tenaga (102.81 juta); penjagaan kesihatan (53.84 juta); telekomunikasi dan media (32.22 juta); pengangkutan dan logistik (30.09 juta); dan utiliti (85.46 juta).

- BERNAMA

Berita Harian X