Rabu, 14 Februari 2024 | 7:54pm
Kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 503 berbanding 387 -NSTP/Aswadi Alias
Kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 503 berbanding 387 -NSTP/Aswadi Alias

Bursa Malaysia turun sedikit ekoran aktiviti ambil untung

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup rendah sedikit hari ini berikutan aktiviti pengambilan untung selepas kenaikan tinggi semalam.

Pada 5 petang, indeks petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 2.04 mata kepada 1529.33 daripada paras penutup 1,531.37 pada Selasa.

FBM KLCI dibuka rendah turun 3.58 mata kepada 1,527.79 dan bergerak antara paras 1,521.79 dan 1,530.95 sepanjang hari dagangan.

Di keseluruhan pasaran, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 503 berbanding 387, manakala 509 kaunter tidak berubah, 901 tidak diniagakan dan 10 yang lain digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 2.81 bilion unit bernilai RM1.93 bilion daripada 2.11 bilion unit bernilai RM2.04 bilion.

Naib presiden penyelidikan ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng, berkata Bursa Malaysia dan pasaran utama serantau ditutup rendah selepas kenaikan tidak dijangka inflasi Amerika Syarikat (AS) apabila Indeks Harga Pengguna (IHP) meningkat sebanyak 3.1 peratus, lebih tinggi daripada unjuran ahli ekonomi pada 2.9 peratus.

"Kenaikan itu telah memudarkan harapan penurunan kadar oleh Rizab Persekutuan (Fed) AS dalam tempoh terdekat ini," katanya kepada Bernama.

Di bursa tempatan, indeks petunjuk utama kekal di atas paras 1,520 dan teguh bertahan dalam jajaran 1,526 hingga 1,527.

"Kami berharap FBM KLCI boleh kekal pada paras ini bagi tempoh yang lebih lama sebagai asas kukuh bagi peningkatan seterusnya. Oleh itu, kami mengekalkan sasaran mingguan FBM KLCI kami antara paras 1,520 dan 1,540," katanya.

Dalam kalangan saham untung di kaunter wajaran tinggi, Petronas Dagangan melonjak 54 sen kepada RM22.26, CIMB naik tiga sen kepada RM6.37, MISC menokok tujuh sen kepada RM7.45 dan AMMB menambah lima sen kepada RM4.34.

Manakala Maybank susut empat sen kepada RM9.40, Public Bank tidak berubah pada RM4.40 dan Tenaga Nasional turun dua sen kepada RM11.06.

Dalam kalangan saham cergas, RGB International dan MMAG naik 1.5 sen setiap satu masing-masing kepada 33 sen dan 11.5 sen, Master Tec meningkat 2.5 sen kepada 41.5 sen manakala Widad susut setengah sen kepada 12.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 15.15 mata kepada 11,358.86, Indeks FBMT 100 susut 14.51 mata kepada 11,015.28, Indeks FBM 70 jatuh 19.38 mata kepada 15,314.93 dan Indeks FBM Emas Shariah berkurangan 29.24 mata kepada 11,383.40 bagaimanapun Indeks FBM ACE naik 9.07 mata kepada 4,842.59.

Mengikut sektor, Indeks Hartanah susut 5.63 mata kepada 921.93, Indeks Perladangan turun 41.18 mata kepada 7,235.45 dan Indeks Tenaga jatuh 0.69 mata kepada 890.71.

Indeks Perkhidmatan Kewangan menambah 7.11 mata kepada 17,155.37 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 0.67 mata kepada 174.09.

Jumlah dagangan Pasaran Utama berkurangan kepada 1.51 bilion unit bernilai RM1.69 bilion daripada 1.57 bilion unit bernilai RM1.93 bilion pada Selasa.

Jumlah dagangan waran menokok kepada 794.82 juta unit bernilai RM109.98 juta daripada 205.28 juta unit bernilai RM27.91 juta.

Jumlah dagangan Pasaran ACE meningkat kepada 485.38 juta bernilai RM132.17 juta daripada 332.83 juta saham bernilai RM85.91 juta sebelumnya.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 229.52 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (475.63 juta); pembinaan (123.48 juta); teknologi (119.3 juta); SPAC (sifar); perkhidmatan kewangan (60.18 juta); hartanah (213.54 juta); perladangan (24.2 juta); REITs (15.61 juta), dana tertutup (1,000); tenaga (81.12 juta); penjagaan kesihatan (37.89 juta); telekomunikasi dan media (41.81 juta); pengangkutan dan logistik (19.87 juta); dan utiliti (66.10 juta).

-BERNAMA

Berita Harian X