Rabu, 7 Februari 2024 | 11:03am
Gambar fail. - AFP
Gambar fail. - AFP

Saham KL rendah pada sesi awal dagangan

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia memulakan dagangan Rabu dengan susut sedikit dalam persekitaran kurang memberangsangkan menjelang cuti hujung minggu yang panjang bersempena Tahun Baharu Cina.

Pada 9.15 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 0.78 mata kepada 1,512.20 daripada 1,512.98 pada akhir dagangan semalam.

Indeks petunjuk utama itu dibuka turun 0.47 mata pada 1,512.51.

Di pasaran meluas, kaunter rugi mendahului kaunter untung sebanyak 203 berbanding 163 manakala 264 kaunter tidak berubah, 1,630 tidak diniagakan dan 10 yang lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan sebanyak 286.85 juta unit bernilai RM129.0 juta.

Sementara itu, Malacca Securities dalam nota penyelidikannya pula menjangkakan sokongan minat belian akan ketara di pasaran tempatan pada minggu ini, sejajar dengan pemulihan pasaran saham dunia.

Malah, sebahagian besar sektor dijangka mendapat momentum dengan tumpuan terhadap usaha seperti pelaksanaan semula projek infrastruktur mega Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura dan pembangunan wilayah Johor yang sedang dijalankan.

"Selain itu, kami menjangkakan pengumuman solar berskala besar 5 (LSS5) akan memberi petunjuk positif untuk pemain kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) berkaitan tenaga itu di pasaran tempatan.

"Pada masa sama, kami juga menjangkakan segmen pengguna dan telekomunikasi yang terus bertahan, mungkin menerima impak daripada peningkatan pelaburan pusat data di Malaysia," kata firma pembrokeran itu.

Saham wajaran tinggi menyaksikan Tenaga Nasional naik dua sen kepada RM10.80, IHH Healthcare menokok tiga sen kepada RM6.20, CelcomDigi meningkat satu sen kepada RM4.20, Petronas Gas tidak berubah pada RM17.86, Maybank turun satu sen kepada RM9.30 manakala Public Bank dan CIMB turun dua sen masing-masing pada RM4.37 dan RM6.19.

Bagi saham aktif, AGX Group yang mula disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia naik tiga sen kepada 38 sen, Leform dan Widad menambah setengah sen kepada 16.5 sen dan 12 sen, Sarawak Conso2elidated meningkat dua sen kepada 35 sen, Tanco meraih dua sen kepada 56 sen, KNM sebaliknya tidak berubah pada 8.5 sen dan Reneuco menokok 2.5 sen kepada 5.5 sen.

Di papan indeks pula, Indeks FBM Emas susut 10.66 mata kepada 11,224.31, Indeks FBMT 100 berkurangan 11.69 mata kepada 10,887.53, Indeks FBM 70 susut 41.34 mata kepada 15,119.19, Indeks FBM Emas Shariah berkurangan 10.25 mata kepada 11,258.43 dan Indeks FBM ACE turun 3.94 mata kepada 4,704.12.

Mengikut sektor, Indeks Hartanah naik 0.29 mata kepada 907.93, Indeks Perladangan susut 1.37 mata kepada 7,172.97 dan Indeks Tenaga menambah 2.25 mata kepada 880.90.

Selain itu, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 17.36 mata kepada 16,943.95 manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 0.36 mata kepada 172.14. – Bernama

Berita Harian X