Selasa, 6 Februari 2024 | 9:09pm
Kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 513 berbanding 452 -NSTP/Aswadi Alias
Kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 513 berbanding 452 -NSTP/Aswadi Alias

Bursa Malaysia meningkat dalam dagangan kecil

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia melantun semula untuk ditutup tinggi sedikit dalam dagangan kecil apabila apabila pelabur tidak mengambil pegangan besar-besaran menjelang cuti panjang hujung minggu sempena sambutan perayaan Tahun Baharu Cina.

Pada jam 5.00 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 1.64 mata untuk ditutup kepada 1,512.98 daripada paras penutup 1,511.34 pada Isnin.

Indeks petunjuk pasaran itu dibuka rendah turun 1.03 mata kepada 1,510.31 dan bergerak antara paras 1,508.99 dan 1,513.98 sepanjang hari dagangan.

Di keseluruhan pasaran, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 513 berbanding 452 manakala 431 kaunter tidak berubah, 853 tidak diniagakan dan sembilan yang lain digantung.

Jumlah dagangan berkurangan kepada 3.09 bilion unit bernilai RM2.17 bilion daripada 3.22 bilion unit bernilai RM2.12 bilion.

Rakan Pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes, berkata peningkatan hasil bon Amerika Syarikat (AS) dan harapan penurunan kadar faedah AS yang semakin pudar telah menjejaskan keyakinan tempatan.

"Tidak mengejutkan apabila para pelabur tempatan mengambil pendekatan berhati-hati dengan perkembangan di China kerana tidak ada kepastian sama ada peningkatan pasaran saham China akan memberi impak positif kepada ekonomi negara," katanya kepada Bernama.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, kedua-dua TNB dan Hong Leong Bank meningkat empat sen masing-masing kepada RM10.78 dan RM19.24, IHH Healthcare naik tiga sen kepada RM6.17, Petronas Chemicals menokok enam sen kepada RM6.74, Maybank susut satu sen kepada RM9.31, manakala Public Bank dan CIMB jatuh dua sen setiap satu masing-masing kepada RM4.39 dan RM6.21.

Dalam kalangan kaunter cergas, Wentel naik dua sen kepada 28 sen, Velesto meningkat setengah sen kepada 25.5 sen, MRCB menokok satu sen kepada 60.5 sen, TWL Holdings tidak berubah pada empat sen, Widad turun satu sen kepada 11.5 sen dan Reneuco jatuh 1.5 sen kepada 8.0 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat sebanyak 21.75 mata kepada 11,234.97, Indeks FBMT 100 menokok 16.05 mata kepada 10,899.22, Indeks FBM 70 melonjak 39.83 mata kepada 15,160.53, Indeks FBM Emas Shariah menambah 32.09 mata kepada 11,268.68 dan Indeks FBM ACE naik 4.67 mata kepada 4,708.06.

Mengikut sektor, Indeks Hartanah meningkat 5.68 mata kepada 907.64, Indeks Perladangan mengukuh 18.13 mata kepada 7,174.34 dan Indeks Tenaga naik 8.98 mata kepada 878.65.

Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 18.93 mata kepada 16,961.31 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 0.67 mata kepada 172.5.

Jumlah dagangan Pasaran Utama berkurangan kepada 1.67 bilion unit bernilai RM1.90 bilion daripada 1.87 bilion unit bernilai RM1.90 bilion pada Isnin.

Jumlah dagangan waran meningkat kepada 652.13 juta unit bernilai RM97.66 juta daripada 644.86 juta unit bernilai RM99.25 juta sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran ACE melonjak kepada 748.17 juta saham bernilai RM173.48 juta daripada 684.72 juta saham bernilai RM123.71 juta.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 290.79 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (296.92 juta); pembinaan (109.42 juta); teknologi (121.84 juta); SPAC (sifar); perkhidmatan kewangan (89.83 juta); hartanah (302.59 juta); perladangan (17.29 juta); REITs (15.36 juta), dana tertutup (31,100); tenaga (179.04 juta); penjagaan kesihatan (90.72 juta); telekomunikasi dan media (26.33 juta); pengangkutan dan logistik (35.65 juta); dan utiliti (93.31 juta).

-BERNAMA

Berita Harian X