Ahad, 4 Februari 2024 | 4:06pm
Ringgit diniagakan bercampur-campur minggu lalu -NSTP/Aswadi Alias
Ringgit diniagakan bercampur-campur minggu lalu -NSTP/Aswadi Alias

Ringgit diunjur naik sedikit minggu depan

KUALA LUMPUR: Ringgit diunjur menyaksikan urus niaga dalam julat kecil dan mengukuh sedikit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada minggu depan ketika unit tempatan itu masih dalam kedudukan terlebih jual, kata penganalisis.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata ringgit dijangka diniagakan pada paras RM4.71 hingga RM4.72 berbanding dolar AS dalam senario pelabur memberi reaksi terhadap data penggajian bukan perladangan AS pada Jumaat.

Pada masa sama, katanya, pihak Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) bertindak menyemak naik unjuran pertumbuhan global daripada 2.9 peratus kepada 3.1 peratus.

"Ini bermakna penurunan pertumbuhan global adalah sebaliknya, sekali gus melenyapkan kebimbangan mengenai pertumbuhan lebih perlahan apabila kadar faedah global mungkin pada trajektori lebih rendah," katanya kepada Bernama.

Pada Rabu, pihak Rizab Persekutuan AS (Fed) memutuskan untuk mengekalkan kadar faedah utama negara maju itu pada 5.50 peratus.

Mengulas selanjutnya, Mohd Afzanizam menyifatkan keputusan Fed itu menunjukkan kemungkinan penurunan kadar faedah ditangguhkan kepada Jun.

Malah, walaupun naratif penurunan kadar faedah itu kekal ketara, ini sebaliknya menjadi satu perkembangan positif terhadap mata wang negara-negara sedang pesat membangun.

Dalam pada itu, urus niaga pada minggu dagangan singkat ini menyaksikan ringgit diniagakan bercampur-campur berikutan sentimen menjelang keputusan dasar kadar faedah global.

Bagi asas Jumaat ke Jumaat, ringgit diniagakan lebih tinggi berbanding dolar AS pada 4.7155/7185 berbanding 4.7275/7325 pada minggu sebelumnya.

Unit tempatan itu bagaimanapun diniagakan lebih rendah berbanding mata wang utama lain, termasuk susut berbanding yen Jepun kepada 3.2142/2164 daripada 3.1988/2024 pada minggu sebelumnya.

Ringgit juga rendah berbanding pound Britain kepada 6.0160/0199 daripada 6.0120/0183 dan turun berbanding euro kepada 5.1352/1384 berbanding 5.1279/1333.

Dalam pada itu, ringgit diniagakan rendah berbanding beberapa mata wang ASEAN lain.

Ringgit rendah berbanding dolar Singapura kepada 3.5309/5334 daripada 3.5267/5307 seminggu lalu dan turun berbanding baht Thailand kepada 13.3735/3873 daripada 13.2679/2879.

Berbanding rupiah Indonesia, ringgit turun pada 301.0/301.4 daripada 298.7/299.1 dan rendah berbanding peso Filipina kepada 8.43/8.44 daripada 8.39/8.41 pada minggu lepas.

-BERNAMA

Berita Harian X