Rabu, 31 Januari 2024 | 7:26pm
Gambar fail. - NSTP/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Gambar fail. - NSTP/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI

Ringgit kembali rendah berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup rendah hari ini berbanding dolar AS apabila indeks dolar AS (DXY) meningkat menjelang pengumuman keputusan kadar faedah Amerika Syarikat (AS) pada lewat malam ini, kata seorang ahli ekonomi.

Pada 6 petang, ringgit susut kepada 4.7305/7355 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.7255/7290 pada Selasa.

Ketua ahli ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata konsensus pasaran adalah Rizab Persekutuan AS akan mengekal Kadar Dana Fed stabil pada 5.50 peratus semasa mesyuarat pertama Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan itu bagi tahun ini.

Apa yang lebih penting, peserta pasaran menunggu penilaian terbaharu oleh Fed mengenai keadaan ekonomi AS pada masa depan, katanya.

"Pendirian menaikkan kadar sudah pastinya akan membantu melonjakkan dolar AS dalam tempoh terdekat ini," katanya kepada Bernama.

Ringgit juga diniagakan kebanyakannya rendah berbanding kumpulan mata wang utama hari ini.

Unit tempatan menyusut berbanding pound Britain kepada 5.9935/9999 daripada 5.9924/9968 dan turun berbanding euro kepada 5.1198/1252 daripada 5.1163/1201. Bagaimanapun ia meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.2021/2057 daripada paras 3.2061/2087 pada Selasa

Begitu juga, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding mata wang negara-negara Asean.

Unit tempatan turun berbanding dolar Singapura kepada 3.5302/5342 daripada paras penutup 3.5273/5304 pada Selasa tetapi mengukuh berbanding baht Thai kepada 13.3321/3511 daripada 13.3572/3727.

Ringgit susut berbanding rupiah Indonesia kepada 299.6/300.2 daripada 299.4/299.7 dan berkurangan berbanding peso Filipina kepada 8.40/8.41 daripada 8.37/8.38. – Bernama

Berita Harian X