Rabu, 31 Januari 2024 | 7:22pm
Gambar fail. - NSTP/HAIRUL ANUAR RAHIM
Gambar fail. - NSTP/HAIRUL ANUAR RAHIM

Saham KL ditutup bercampur-campur

KUALA LUMPUR: Indeks utama Bursa Malaysia mengalami sedikit perubahan manakala pasaran lebih meluas ditutup bercampur-campur hari ini, dalam keadaan sentimen berhati-hati di seluruh rantau ini menjelang keputusan Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) mengenai kadar faedah lewat hari ini, kata peniaga.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 0.23 mata untuk ditutup pada 1,512.98 berbanding 1,512.75 semasa ditutup pada Selasa.

Indeks barometer dibuka rendah 0.15 mata kepada 1,512.60 dan bergerak antara 1,509.55 dan 1,516.40 pada sepanjang dagangan.

Di pasaran lebih meluas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 635 berbanding 401, manakala 427 kaunter tidak berubah, 799 tidak diniagakan dan 52 yang lain digantung dagangan.

Jumlah dagangan merosot kepada 3.67 bilion unit bernilai RM2.86 bilion daripada 3.78 bilion unit bernilai RM2.64 bilion pada Selasa.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata indeks serantau utama turut ditutup bercampur-campur berikutan sentimen berhati-hati disebabkan pelabur menunggu keputusan mengenai kadar faedah oleh Fed AS semasa mesyuarat pertamanya untuk tahun ini.

Fed dijangka mempertimbangkan dasar monetarinya dan membuat keputusan mengenai kadar faedah lewat hari ini selepas mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan yang pertama untuk tahun ini.

"Di dalam negara, kami menasihatkan pelabur untuk kekal berwaspada meskipun indeks petunjuk pasaran memperlihatkan trend aliran menaik, berikutan turun naik pasaran dan ketidaktentuan global.

"Oleh itu, kami menjangkakan FBM KLCI akan bergerak dalam julat 1,500-1,520 menjelang akhir minggu ini, dengan paras rintangan segera pada 1,527 dan paras sokongan pada 1,500," katanya.

Bagi saham wajaran tinggi, Maybank menokok dua sen kepada RM9.26, CIMB Group meningkat satu sen kepada RM6.23, Tenaga Nasional naik 24 sen kepada RM10.72, manakala Public Bank menyusut satu sen kepada RM4.39, dan Petronas Chemicals susut enam sen kepada RM6.77.

Bagi saham aktif, Reneuco menyusut tujuh sen kepada 8.5 sen, Perdana Petroleum, Velestro Energy dan Sapura Energy masing-masing berkurangan setengah sen kepada 26.5 sen, 26.0 sen dan 4.5 sen, manakala TWL Holdings tidak berubah pada empat sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 13.51 mata kepada 11,243.33, Indeks FBMT 100 berkurangan 13.04 mata kepada 10,903.82, Indeks FBM 70 turun 78.62 mata kepada 15,185.92, Indeks FBM Emas Syariah merosot 2.76 mata kepada 15,185.92, dan Indeks FBM ACE susut 30.27 mata kepada 4,755.03.

Mengikut sektor, Indeks Hartanah berkurangan 5.19 mata kepada 920.88, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 7.68 mata kepada 16,942.99, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.91 mata kepada 173.11, manakala Indeks Perladangan merosot 37.51 mata kepada 7,170.86.

Sementara itu, Indeks Tenaga meningkat 15.92 mata kepada 895.10.

Jumlah dagangan Pasaran Utama menokok kepada 2.52 bilion unit bernilai RM2.63 bilion daripada 2.39 bilion unit bernilai RM2.33 bilion pada Selasa.

Jumlah dagangan waran berkurangan kepada 555.54 juta unit bernilai RM88.19 juta berbanding 597.32 juta unit bernilai RM96.41 juta sebelum ini.

Jumlah dagangan Pasaran ACE merosot kepada 582.84 juta saham bernilai RM136.76 juta berbanding 760.74 juta saham bernilai RM208.97 juta semalam.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang sebanyak 426.56 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (388.23 juta); pembinaan (133.45 juta); teknologi (126.34 juta); SPAC (sifar); perkhidmatan kewangan (123.18 juta); hartanah (657.27 juta); perladangan (25.0 juta); REIT (36.15 juta), dana tertutup (65,500); tenaga (359.59 juta); penjagaan kesihatan (67.20 juta); telekomunikasi dan media (47.13 juta); pengangkutan dan logistik (34.86 juta); dan utiliti (92.41 juta).

Bursa Malaysia Bhd dan anak syarikatnya akan ditutup esok susulan cuti Hari Wilayah Persekutuan dan beroperasi semula pada Jumaat, 2 Feb 2024. – Bernama

TAG: Bursa Malaysia, FBM KLCI, Rakuten Trade, Fed AS, kadar faedah

Berita Harian X