Selasa, 30 Januari 2024 | 8:29pm
Gambar fail. NSTP/NABILA ADLINA AZAHARI
Gambar fail. NSTP/NABILA ADLINA AZAHARI

Bursa ditutup rendah, akhiri kenaikan enam hari berturut-turut

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia mengakhiri prestasi tinggi enam hari berturut-turut apabila ditutup rendah pada Selasa berikutan pelabur membuat pengambilan untung susulan kenaikan baru-baru ini, dalam keadaan berhati-hati di pasaran serantau memandangkan kebimbangan terhadap sektor hartanah China telah mempengaruhi sentimen.

FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 2.64 mata untuk berakhir pada 1,512.75 daripada 1,515.39 ketika ditutup pada Isnin.

Indeks barometer itu dibuka 2.36 mata lebih tinggi kepada 1,517.75 sebelum bergerak di antara 1,511.84 dengan 1,520.31 sepanjang dagangan hari ini.

Bagi keseluruhan pasaran, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 622 berbanding 383 manakala 459 kaunter tidak berubah, 794 kaunter tidak diniagakan dan 73 yang lain digantung.

Jumlah dagangan susut kepada 3.78 bilion unit bernilai RM2.6 bilion daripada 4.32 bilion unit bernilai RM2.98 bilion pada Isnin.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata bursa tempatan dan pasaran serantau lain secara amnya rendah hari ini berikutan kebimbangan yang semakin meningkat terhadap pemaju hartanah utama China, Evergrande Group.

Beliau berkata, mahkamah di Hong Kong telah memutuskan perintah pembubaran (ke atas Evergrande).

"Mungkin, laporan itu memberikan (isyarat) kepada pelabur supaya menambat beberapa keuntungan memandangkan indeks penanda aras (tempatan) meningkat 9.11 mata semalam," katanya.

Nikkei 225 Jepun meningkat 0.11 peratus kepada 36,065.86, Indeks Hang Seng Hong Kong susut 2.32 peratus kepada 15,703.45 manakala Indeks Straits Times Singapura menokok 0.25 peratus kepada 3,148.06 manakala Indeks SSE Komposit China turun 1.83 peratus kepada 2,830.53.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank menambah 1.0 sen kepada RM9.24, Public Bank turun 1.0 sen kepada RM4.40 dan Tenaga Nasional menguncup 2.0 sen kepada RM10.48, IHH Healthcare susut 9.0 sen kepada RM6.06 manakala CIMB tidak berubah pada RM6.22.

Antara saham aktif, HE Group menambah 4.5 sen kepada 32.5 sen, Widad Group turun 1.0 sen kepada 14.5 sen dan YNH Property susut 16 sen kepada 68.5 sen.

TWL Holdings pula tidak berubah pada 4.0 sen dan Sapura Energy mendatar pada 5.0 sen.

Sementara itu, Bursa Malaysia telah menggantung jualan singkat Lotte Chemical Titan Holding Bhd mengikut peraturan Jualan Singkat Harian (IDSS) berikutan harga akhir dagangan saham itu merosot lebih 15 peratus atau 15 sen daripada harga rujukannya.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat itu menjelaskan jualan singkat di bawah IDSS hanya akan diaktifkan esok pada pukul 8.30 pagi.

Lotte Chemical ditutup rendah apabila susut 23.0 sen atau 15.75 peratus kepada RM1.23 dengan 9.79 juta saham bertukar tangan.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 23.34 mata kepada 11,256.84, Indeks FBMT 100 kurang 19.10 mata kepada 10,916.86, dan Indeks FBM 70 susut 26.98 mata kepada 15,264.54.

Indeks FBM Emas Syariah meningkat 50.58 mata kepada 11,280.85 manakala Indeks FBM ACE menguncup 33.88 mata kepada 4,785.30.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 8.09 mata kepada 16,950.67, Indeks Tenaga turun 4.38 mata kepada 879.18, Indeks Hartanah susut 2.83 mata kepada 926.07, Indeks Perladangan merosot 54.23 mata kepada 7,208.37 manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian kurang 0.86 mata kepada 174.02.

Jumlah dagangan Pasaran Utama turun kepada 2.39 bilion unit bernilai RM2.33 bilion daripada 2.94 bilion unit bernilai RM2.68 bilion pada Isnin.

Jumlah dagangan waran susut kepada 597.32 juta unit bernilai RM96.41 juta daripada 635.14 juta unit bernilai RM97.47 juta sebelum ini.

Jumlah dagangan Pasaran ACE pula sebanyak 760.74 juta saham bernilai RM208.97 juta berbanding 740.72 juta saham bernilai RM201.17 juta pada Isnin.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 232.01 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama; produk dan perkhidmatan perindustrian (522.65 juta); pembinaan (165.59 juta); teknologi (113.09 juta); SPAC (sifar); perkhidmatan kewangan (141.36 juta); hartanah (606.21 juta); perladangan (26.85 juta); REIT (22.33 juta); dana tertutup (24,500); tenaga (260.77 juta); penjagaan kesihatan (70.86 juta); telekomunikasi dan media (44.21 juta); pengangkutan dan logistik (40.03 juta); serta utiliti (142.44 juta).

-- BERNAMA

Berita Harian X