Isnin, 29 Januari 2024 | 9:01pm
Pendirian dasar monetari yang ketat di AS akan menyebabkan urus niaga ringgit dalam julat yang kecil - Foto AFP
Pendirian dasar monetari yang ketat di AS akan menyebabkan urus niaga ringgit dalam julat yang kecil - Foto AFP

Ringgit jatuh menjelang keputusan kadar faedah di AS

KUALA LUMPUR: Ringgit susut berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada akhir urus niaga Isnin berikutan sentimen berhati-hati menjelang keputusan mengenai kadar faedah utama negara maju berkenaan pada minggu ini.

Pada 6 petang, ringgit turun ke paras 4.7310/7360 berbanding dolar AS daripada 4.7275/7325 pada Jumaat lalu.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata ringgit diniagakan dalam julat kecil hari ini apabila pasaran mengalihkan tumpuan ke atas Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan AS (FOMC) yang bermesyuarat pada 30 hingga 31 Januari 2024.

"Seiring dengan data Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) AS bagi suku keempat 2023 yang lebih baik daripada dijangkakan baru-baru ini, pihak Rizab Persekutuan (Fed) berkemungkinan besar mengekalkan pendirian dasar monetari yang ketat.

"Ini hanya menjadikan dolar AS mendapat sokongan baik dan sebaliknya menyebabkan urus niaga ringgit dalam julat yang kecil," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya mengukuh berbanding kumpulan mata wang utama kecuali yen yang menyaksikannya turun ke paras 3.2020/2056 daripada 3.1988/2024 pada akhir Jumaat lalu.

Ringgit meningkat berbanding pound Britain kepada 6.0093/0157 daripada 6.0120/0183 dan naik berbanding euro kepada 5.1204/1258 daripada 5.1279/1333.

Pada masa sama, ringgit sebaliknya diniagakan kebanyakannya rendah berbanding kumpulan mata wang ASEAN.

Unit tempatan itu hampir tidak berubah berbanding dolar Singapura pada 3.5269/5309 berbanding 3.5267/5307 pada Jumaat lalu dan rendah berbanding baht Thailand pada 13.2949/3153 daripada 13.2679/2879, sebelum ini.

Ringgit juga susut nilai berbanding rupiah Indonesia pada 299.1/299.7 daripada 298.7/299.1 minggu lepas dan rendah berbanding peso Filipina pada 8.40/8.42 daripada 8.39/8.41, sebelumnya.

-BERNAMA

Berita Harian X