Isnin, 29 Januari 2024 | 10:36am
Ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding sekumpulan mata wang utama - Gambar fail NSTP
Ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding sekumpulan mata wang utama - Gambar fail NSTP

Ringgit dibuka rendah kepada RM4.73 sedolar AS

KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka rendah berikutan urus niaga berhati-hati oleh peniaga menjelang mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) Amerika Syarikat (AS) yang dijadualkan pada 30 hingga 31 Januari.

Pada 9.10 pagi, ringgit susut kepada 4.7320/7360 berbanding dolar AS daripada 4.7275/7325 pada Jumaat lalu.

Pengarah Urusan SPI Asset Management, Stephen Innes, berkata pergerakan pasaran pada Isnin dijangka rendah berikutan pelabur menunggu keputusan daripada mesyuarat FOMC.

"Mesyuarat ini akan memberikan pandangan mengenai penilaian Rizab Persekutuan berhubung keseimbangan antara pertumbuhan ekonomi yang pesat dan inflasi yang sederhana, faktor penting dalam menentukan hala tuju dasar monetari.

"Dolar AS dijangka terus mencatatkan aliran meningkat walaupun dengan momentum yang perlahan," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia naik berbanding pound kepada 6.0111/0161 daripada 6.0120/0183 dan meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.1938/1968 daripada 3.1988/2024 pada Jumaat lalu.

Ia merosot berbanding euro kepada 5.1328/1371 daripada 5.1279/1333 sebelum ini.

Mata wang tempatan diniagakan kebanyakannya rendah berbanding mata wang ASEAN.

Ia susut berbanding dolar Singapura kepada 3.5274/5306 daripada 3.5267/5307, rendah berbanding baht Thailand kepada 13.2884/3056 daripada 13.2679/2879 dan merosot berbanding rupiah Indonesia kepada 299.0/299.3 daripada 298.7/299.1 minggu lalu.

Ia hampir tidak berubah berbanding peso Filipina kepada 8.39/8.40 daripada 8.39/8.41 sebelum ini.

-BERNAMA

Berita Harian X