Isnin, 22 Januari 2024 | 7:40pm
Kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 644 berbanding 375 - Gambar hiasan
Kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 644 berbanding 375 - Gambar hiasan

Aktiviti beli saham lonjak dagangan Bursa Malaysia

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup tinggi bagi hari kedua berturut-turut hari ini disokong oleh aktiviti membeli saham berharga rendah dalam saham wajaran tinggi dan permodalan kecil terpilih.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 4.82 mata kepada 1,491.19 daripada paras penutup 1,486.37 pada Jumaat minggu lalu.

Indeks petunjuk pasaran itu yang dibuka tinggi naik 0.98 mata kepada 1,487.35, bergerak antara jajaran 1,485.51 dan 1,493.98 sepanjang sesi dagangan.

Aktiviti belian dalam saham wajaran tinggi diterajui YTL Power, yang melonjak 19 sen atau 5.26 peratus kepada RM3.80, diikuti Axiata yang naik 14 sen atau 5.51 peratus kepada RM2.68, manakala YTL Corporation meningkat 11 sen atau 5.05 peratus kepada RM2.29. Ketiga-tiga saham ini menyumbang 6.681 mata kepada kenaikan indeks komposit.

Sejajar dengan momentum positif itu, keseluruhan pasaran menyaksikan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 644 berbanding 375, manakala 428 kaunter tidak berubah, 816 tidak diniagakan dan 15 yang lain digantung.

Jumlah dagangan menyusut kepada 4.79 bilion unit bernilai RM3.12 bilion daripada 5.39 bilion unit bernilai RM2.73 bilion pada Jumaat minggu lalu.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade, Thong Pak Leng, berkata FBM KLCI ditutup tinggi sedikit apabila strategi 'membeli pada harga rendah' berterusan susulan penjualan baru-baru ini.

Bagaimanapun, indeks utama serantau ditutup kebanyakannya rendah disebabkan jualan saham hartanah di China dan Hong Kong apabila pelabur kecewa dengan langkah-langkah kerajaan untuk merangsang ekonomi kedua terbesar dunia itu.

Namun, berita positifnya, Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) membayangkan kemungkinan penurunan kadar walaupun ada sebahagian pegawai memberikan bayangan yang berbeza dengan jangkaan pasaran.

"Di bursa tempatan, pelabur memilih untuk mengambil pendekatan berhati-hati berikutan peningkatan ketidaktentuan global.

"Oleh itu, kami menjangkakan FBM KLCI kekal stabil dengan kecenderungan meningkat pada minggu ini, berada dalam jajaran antara 1,480 dan 1,500 mata dengan paras sokongan segera pada 1,475 dan paras rintangan pada 1,500," katanya kepada Bernama.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank susut dua sen kepada RM9.01, Public Bank turun satu sen kepada RM4.34, CIMB jatuh empat sen kepada RM5.97, Petronas Chemicals berkurangan tujuh sen kepada RM6.71 manakala IHH Healthcare menyusut tiga sen kepada RM5.97.

Tenaga naik empat sen kepada RM10.48, CelcomDigi meningkat tiga sen kepada RM5.97, manakala Hong Leong Bank menokok 1.17 peratus atau 22 sen kepada RM19.02.

Dalam kalangan kaunter cergas, Sarawak Consolidated meningkat 14.5 sen kepada 43.5 sen, Widad Group naik 2.5 sen kepada 13.5 sen, Leform menambah dua sen kepada 18 sen, Jentayu Sustainables menokok 4.5 sen kepada 54.5 sen, manakala Minetech jatuh satu sen kepada 15.5 sen.

YNH Property mencecah had penurunannya selepas jatuh 30 sen untuk ditutup hari ini kepada 55.5 sen. Kaunter itu merupakan saham paling aktif diniagakan dengan 233.77 juta saham bertukar tangan.

Ini merupakan kali ketiga saham itu mencecah paras had penurunann dalam tempoh dua minggu lalu.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 57.06 mata kepada 11,122.22, Indeks FBM 70 melonjak 110.41 mata kepada 15,151.8, Indeks FBMT 100 naik 46.0 mata kepada 10,780.29, Indeks FBM Emas Shariah menambah 62.03 mata kepada 11,232.7, dan Indeks FBM ACE meningkat 43.65 mata kepada 4,833.8.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 8.33 mata kepada 16,621.85, Indeks Hartanah naik 14.63 mata kepada 905.6, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menokok 0.51 mata kepada 173.43, manakala Indeks Tenaga menambah 11.03 mata kepada 854.35.

Bagaimanapun, Indeks Perladangan jatuh 12.36 mata kepada 7,150.73.

Jumlah dagangan Pasaran Utama berkurangan kepada 3.03 bilion unit bernilai RM2.79 bilion daripada 3.28 bilion unit bernilai RM2.40 bilion pada Jumaat.

Jumlah dagangan waran meningkat kepada 663.47 juta unit bernilai RM98.55 juta daripada 530.55 juta unit bernilai RM65.93 juta sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran ACE jatuh kepada 1.09 bilion saham bernilai RM223.62 juta daripada 1.56 bilion saham bernilai RM261.65 juta.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 323.48 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (992.03 juta); pembinaan (231.47 juta); teknologi (151.15 juta); SPAC (sifar); perkhidmatan kewangan (128.19 juta); hartanah (721.56 juta); perladangan (47.21 juta); REITs (13.92 juta), dana tertutup (25,000); tenaga (138.39 juta); penjagaan kesihatan (78.79 juta); telekomunikasi dan media (52.4 juta); pengangkutan dan logistik (42.26 juta); dan utiliti (107.36 juta).

-BERNAMA

Berita Harian X