Isnin, 22 Januari 2024 | 11:59am

Bursa Malaysia meningkat pada sesi pagi

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia meneruskan kenaikan minggu lalu untuk dibuka tinggi pada Isnin apabila pelabur mengambil petunjuk prestasi positif dari Wall Street pada Jumaat lalu.

Pada 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 2.86 mata kepada 1,4789.23 daripada 1,486.37 ketika ditutup pada Jumaat lepas.

Indeks barometer itu dibuka 0.98 mata lebih tinggi kepada 1,487.35.

Keseluruhan pasaran menyaksikan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 236 berbanding 115, manakala 231 kaunter tidak berubah, 1,681 kaunter tidak diniagakan dan 15 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 223.65 juta unit bernilai RM107.03 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti, Rakuten Trade, Thong Pak Leng berkata Wall Street ditutup tinggi pada Jumaat apabila pelabur memilih untuk menumpukan perkara positif – pasaran buruh yang kukuh dan ekonomi memberangsangkan – mengabaikan yang sebenarnya Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) mungkin memanjangkan persekitaran kadar faedah tinggi semasa.

Beliau berkata di peringkat tempatan, FBM KLCI meningkat semula pada Jumaat, susulan pembetulan daripada paras 1,500 minggu sebelumnya.

"Bagi hari ini, kami percaya indeks akan berlegar dalam julat 1,485 hingga 1,495.

"Saham perladangan mungkin menjadi tumpuan hari ini memandangkan minyak sawit mentah meningkat kukuh kepada hampir RM4,000 satu tan susulan permintaan dari China untuk sambutan Tahun Baharu Cina tidak lama lagi," katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Public Bank naik satu sen kepada RM4.36, CelcomDigi menambah tiga sen kepada RM4.23 namun IHH Healthcare susut tiga sen kepada RM5.97.

Maybank, CIMB, Tenaga, dan Petronas Chemicals masing-masing mendatar pada RM9.03, RM6.01, RM10.44 dan RM6.78.

Antara saham aktif, Widad menokok 1.5 sen kepada 12.5 sen, Sarawak Consolidated dan Artroniq masing-masing menokok dua sen kepada 31 sen dan 30.5 sen mankala Leform tidak berubah pada 16 sen.

YNH Property, yang mencecah had turun pada Selasa minggu lepas, terus merosot kepada 59 sen selepas susut 26.5 sen atau 30.99 peratus pagi ini dengan sebanyak 62.05 juta saham bertukar tangan.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 26.25 mata kepada 11,091.41, Indeks FBM 70 menokok 39.52 mata kepada 15,080.91, Indeks FBMT 100 menambah 22.54 mata kepada 10,756.83, Indeks FBM Emas Syariah naik 22.26 mata kepada 11,192.93, dan Indeks FBM ACE meningkat 12.52 mata kepada 4,802.67.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 12.77 mata kepada 16,626.29, Indeks Hartanah naik 4.99 mata kepada 895.96, Indeks Perladangan turun 1.67 mata kepada 7,164.76, Indeks Tenaga menambah 2.61 mata kepada 845.93 manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian kurang 0.52 mata kepada 173.44. – Bernama

Berita Harian X