Selasa, 16 Januari 2024 | 6:30pm
Kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 775 berbanding 324 - Gambar hiasan
Kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 775 berbanding 324 - Gambar hiasan

Bursa Malaysia gagal pertahan 1,500 mata

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup rendah pada Selasa berikutan pengambilan untung, prestasi yang seiring dengan bursa serantau dan merupakan penurunan semula selepas ditutup di atas rintangan psikologi 1,500 semalam, kata peniaga.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 7.24 mata kepada 1,493.87 daripada 1,501.11 ketika ditutup pada Isnin.

FBM KLCI dibuka 0.72 mata lebih rendah kepada 1,500.39 sebelum bergerak di antara 1,492.40 dengan 1,503.73 semasa sesi dagangan hari ini.

Bagi keseluruhan pasaran, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 775 berbanding 324, manakala 406 kaunter tidak berubah, 712 kaunter tidak diniagakan dan 19 yang lain digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 5.84 bilion unit bernilai RM3.59 bilion daripada 4.98 bilion unit bernilai RM3.13 bilion pada Isnin.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata pergerakan di bursa tempatan adalah seiring prestasi pasaran serantau dengan kebanyakan bursa mencatatkan penurunan.

Beliau berkata, secara keseluruhannya, Bursa Malaysia telah menunjukkan prestasi baik dengan FBM KLCI berlegar di sekitar paras psikologi 1,500 mata.

"Walau bagaimanapun, kebimbangan terhadap ekonomi China terutama mengenai aliran deflasinya serta jangkaan masa pengurangan kadar faedah Amerika Syarikat akan terus menjadi tumpuan.

"Oleh itu, sekali-sekala kita mungkin menyaksikan pengambilan untung berlaku apabila FBM KLCI yang sedang membina asas pergerakan kukuh berada pada paras kira-kira 1,500 mata," katanya kepada Bernama.

Di peringkat serantau, Nikkei 225 Jepun turun 0.79 peratus kepada 35,619.18, Indeks Hang Seng Hong Kong susut 2.16 peratus kepada 15,865.92, Indeks Straits Times Singapura menguncup 0.49 peratus kepada 3,183.59 manakala Kospi Korea Selatan kurang 1.12 peratus kepada 2,497.59.

Namun, Indeks Komposit Bursa Saham Shanghai menambah 0.27 peratus kepada 2,893.99.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank susut dua sen kepada RM9.06, CIMB menambah satu sen kepada RM6.01, Tenaga Nasional kurang empat sen kepada RM10.46, Petronas Chemicals menguncup tujuh sen kepada RM6.88 dan Public Bank mendatar pada RM4.36.

Antara saham aktif, Minetech susut dua sen kepada 15.5 sen, Sarawak Consolidated merosot 35.5 sen kepada 83.5 sen, Leform turun 22 sen kepada 27 sen, Malaysian Resources Corp kurang 2.5 sen kepada 51 sen manakala Insas Warrant kurang 1.5 sen kepada 38 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 57.07 mata kepada 11,143.64, Indeks FBMT 100 kurang 46.33 mata kepada 10,792.99, Indeks FBM Emas Syaariah menguncup 55.32 mata kepada 11,258.41, Indeks FBM ACE merosot 183.03 mata kepada 5,197.93 manakala Indeks FBM 70 susut 40.77 mata kepada 15,141.89.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 22.83 mata kepada 16,670.59, Indeks Perladangan merosot 24.95 mata kepada 7,164.01, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian kurang 1.17 mata kepada 176.50, Indeks Hartanah menguncup 19.70 mata kepada 896.24 manakala Indeks Tenaga susut 7.84 mata kepada 858.81.

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 3.90 bilion unit bernilai RM3.12 bilion daripada 3.29 bilion unit bernilai RM2.74 bilion pada Isnin.

Jumlah dagangan waran berkurangan kepada 779.86 juta unit bernilai RM104.12 juta daripada 846.81 juta unit bernilai RM104.46 juta semalam.

Jumlah dagangan Pasaran ACE pula meningkat kepada 1.15 bilion saham bernilai RM366.67 juta daripada 820.88 juta saham bernilai RM281.65 juta semalam.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 395.51 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (1.24 bilion); pembinaan (281.33 juta); teknologi (276.85 juta); SPAC (sifar); perkhidmatan kewangan (207.07 juta); hartanah (666.53 juta); perladangan (20.82 juta); REIT (15.40 juta); dana tertutup (280,500); tenaga (226.62 juta); penjagaan kesihatan (138.70 juta); telekomunikasi dan media (52.27 juta); pengangkutan dan logistik (164.18 juta); serta utiliti (217.50 juta).

-BERNAMA

Berita Harian X