Jumaat, 12 Januari 2024 | 7:16pm
Kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 492 berbanding 486 - Foto AFP
Kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 492 berbanding 486 - Foto AFP

Bursa Malaysia ditutup kukuh ketika pasaran serantau lemah

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia mencatatkan prestasi kukuh hari ini apabila indeks utama ditutup pada paras tertinggi intra hari meskipun prestasi lemah di kebanyakan pasaran utama serantau, dengan belian tertumpu kebanyakannya dalam saham utiliti serta perkhidmatan kewangan.

Saham YTL Power International melonjak 31 sen kepada RM3.68, YTL Corporation naik 12 sen kepada RM2.36 dan Maybank meningkat enam sen kepada RM9.06. Saham-saham ini membantu meningkatkan indeks komposit dengan gabungan sebanyak 7.53 mata.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 4.34 mata kepada 1,487.34 daripada paras penutup 1,483.00.

Indeks petunjuk pasaran itu dibuka tinggi naik 0.24 mata kepada 1,483.24 pagi ini dan mencecah paras terendah intra hari pada 1,482.02 semasa sesi selepas dagangan pagi.

Di keseluruhan pasaran, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 492 berbanding 486, manakala 445 kaunter tidak berubah, 796 tidak diniagakan dan 29 yang lain digantung.

Jumlah dagangan berkurangan kepada 4.08 bilion unit bernilai RM2.84 bilion daripada 4.64 bilion unit bernilai RM3 bilion pada Khamis.

Rakan Pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes, berkata inflasi keseluruhan Amerika Syarikat (AS) lebih tinggi daripada yang dijangkakan, namun inflasi 'supercore' (lonjakan harga perkhidmatan) yang dipantau rapat oleh Rizab Persekutuan (Fed) AS lebih rendah daripada jangkaan.

"Oleh itu, unjuran penurunan kadar berasaskan pasaran pada Mac masih kekal teguh, dengan hasil bon 10 tahun AS masih didagangkan empat peratus, yang akan memberi sokongan kepada bursa tempatan," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade, Thong Pak Leng, berkata indeks utama serantau ditutup kebanyakannya rendah apabila pelabur mengambil pendekatan berhati-hati susulan prestasi lemah di Wall Street semalaman.

"Dengan inflasi AS yang lebih tinggi daripada jangkaan pada Disember, pakar ekonomi berpandangan Fed berkemungkinan besar tidak akan menurunkan kadarnya pada Mac, dengan ramai yang menjangkakan bank pusat itu akan menangguhkan langkah tersebut sehingga mesyuaratnya pada Mei," katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Petronas Chemicals meningkat empat sen kepada RM6.92, Telekom Malaysia naik tujuh sen kepada RM5.82, manakala Sime Darby Plantation berkurangan 11 sen kepada RM4.31 dan Tenaga Nasional susut 10 sen kepada RM10.34.

Dalam kalangan kaunter cergas, Ekovest meningkat 4.5 sen kepada 59 sen, Sarawak Consolidated naik 4.0 sen kepada RM1.16, Minetech Resources susut 2.5 sen kepada 19.5 sen, Hong Seng Consolidated turun setengah sen kepada 1.5 sen manakala Widad tidak berubah pada 49 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM 70 naik 49.34 mata kepada 15,163.81, Indeks FBM Emas meningkat 33.69 mata kepada 11,116.85, Indeks FBMT 100 menokok 32.36 mata kepada 10,761.88, Indeks FBM Emas Shariah menambah 11.63 mata kepada 11,248.98, manakala Indeks FBM ACE menyusut 33.19 mata kepada 5,381.43.

Mengikut sektor, Indeks Tenaga naik sebanyak 3.09 mata kepada 865.71, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 13.39 mata kepada 16,550.04, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menokok 0.82 mata kepada 175.85, Indeks Hartanah menambah 4.65 mata kepada 892.79 dan Indeks Perladangan berkurangan 28.69 mata kepada 7,101.93.

Jumlah dagangan Pasaran Utama jatuh kepada 2.78 bilion unit bernilai RM2.52 bilion daripada 3.12 bilion unit bernilai RM2.67 bilion pada Khamis.

Jumlah dagangan waran berkurangan kepada 573.39 juta saham bernilai RM75.62 juta daripada 671.39 juta unit bernilai RM76.17 juta.

Jumlah dagangan Pasaran ACE menyusut kepada 726.07 juta saham bernilai RM240.75 juta daripada 834.69 juta saham bernilai RM252.36 juta.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 321.86 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (887.94 juta); pembinaan (251.26 juta); teknologi (323.31 juta); SPAC (sifar); perkhidmatan kewangan (66.17 juta); hartanah (418.41 juta); perladangan (26.82 juta); REITs (17.97 juta), dana tertutup (16,200); tenaga (109.30 juta); penjagaan kesihatan (94.07 juta); telekomunikasi dan media (26.24 juta); pengangkutan dan logistik (70.13 juta); dan utiliti (161.55 juta).

-BERNAMA

Berita Harian X