Selasa, 9 Januari 2024 | 9:33pm
Kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 605 berbanding 410 - Foto AFP r
Kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 605 berbanding 410 - Foto AFP r

Bursa Malaysia cemerlang meningkat lima hari berturut-turut

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia meneruskan aliran kenaikan, ditutup tinggi untuk hari kelima berturut-turut dengan aktiviti belian kebanyakannya pada saham perbankan, telekomunikasi dan pengguna manakala pengambilan untung di kaunter utiliti.

Indeks barometer itu meningkat kepada 45.73 mata selama lima hari.

Pada 5 petang, indeks FBM KLCI melonjak 0.21 peratus atau 3.13 mata kepada 1,498.83 daripada paras penutup 1,495.70 ketika ditutup pada Isnin.

Indeks petunjuk pasaran dibuka tinggi 1.47 mata kepada 1,497.17 dan bergerak antara paras 1,496.84 and 1,503.93 pada sepanjang sesi dagangan itu.

Bagaimanapun, pada keseluruhan pasaran, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 605 berbanding 410, manakala 475 kaunter tidak berubah, 729 tidak diniagakan dan 19 yang lain digantung.

Jumlah dagangan turun kepada 6.44 bilion unit bernilai RM3.77 bilion daripada 6.96 bilion unit bernilai RM4.21 bilion pada Isnin.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade, Thong Pak Leng, berkata bursa serantau utama ditutup lebih tinggi serta saham teknologi melonjak selepas kenaikan yang diterajui saham teknologi di Wall Street dalam tempoh semalaman.

"Kenaikan dalam saham teknologi didorong oleh aktiviti belian saham pada harga rendah.

"Sementara itu, pelabur menunggu angka inflasi Amerika Syarikat (AS) seterusnya pada akhir minggu ini serta turut menunggu penjelasan lanjut mengenai langkah Rizab Persekutuan (Fed) AS yang dijangka mengurangkan kadar faedah," katanya kepada Bernama.

Pak Leng menjangkakan lebih banyak peningkatan jika indeks penanda aras tempatan yang kini menguji tahap psikologi 1,500 mata, berjaya menembusi paras rintangan berkenaan dan boleh mengekalkannya untuk tempoh lama.

"Justeru, kami mengekalkan sasaran mingguan FBM KLCI antara julat 1,490 dan 1,510 ketika ini," katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank naik empat sen kepada RM9.10, Public Bank menambah tiga sen kepada RM4.39 manakala CIMB dam Tenaga Nasional masing-masing melonjak dua sen kepada RM6.05 dan RM10.56.

Bagaimanapun, Petronas Chemicals turun 12 sen kepada RM7.10.

Bagi kalangan kaunter cergas, TWL Holdings meningkat 0.5 sen kepada 4.5 sen, Minetech Resources meningkat 1.5 sen kepada 23.5 sen dan Industronics menambah 2.5 sen kepada sembilan sen.

Hong Seng Consolidated turun 0.5 sen kepada 2.5 sen manakala Saudee tidak berubah pada tiga sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas menokok 6.77 mata kepada 11,166.15, Indeks FBMT 100 naik 12.35 mata kepada 10,813.71 bagaimanapun Indeks FBM ACE jatuh 5.76 mata kepada 5,442.94.

Indeks FBM 70 merosot 24.47 mata kepada 15,109.37 dan Indeks FBM Emas Shariah berkurangan 11.12 mata kepada 11,266.65.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 66.87 mata kepada 16,735.92, Indeks Perladangan meningkat 16.46 mata kepada 7,082.19 manakala Indeks Tenaga berkurangan 4.51 mata kepada 844.49.

Jumlah dagangan Pasaran Utama turun kepada 4.38 bilion unit bernilai RM3.34 bilion berbanding 4.74 billion unit bernilai RM3.80 bilion pada Isnin.

Jumlah dagangan waran menambah 1.03 bilion unit bernilai RM127.07 juta daripada 867.57 juta unit bernilai RM108.87 juta sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran ACE merosot kepada 1.03 bilion saham bernilai RM294.60 juta daripada 1.34 bilion saham bernilai RM303.60 juta semalam.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 822.47 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (974.21 juta); pembinaan (235.35 juta); teknologi (827.71 juta); SPAC (sifar); perkhidmatan kewangan (105.58 juta); hartanah (705.43 juta); perladangan (30.19 juta); REITs (16.47 juta), dana tertutup (65,000); tenaga (192.68 juta); penjagaan kesihatan (147.27 juta); telekomunikasi dan media (42.41 juta); pengangkutan dan logistik (92.29 juta); dan utiliti (185.55 juta).

-BERNAMA

Berita Harian X