Jumaat, 5 Januari 2024 | 10:20am
Indeks FBM KLCI dibuka menokok 0.37 mata kepada 1,476.89 -NSTP/Aswadi Alias
Indeks FBM KLCI dibuka menokok 0.37 mata kepada 1,476.89 -NSTP/Aswadi Alias

Bursa Malaysia dijangka terus meningkat

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia memulakan dagangan pada Jumaat dengan mencatat prestasi bercampur-campur dan dijangka seiring prestasi sama di Wall Street dan pergerakan pasaran serantau.

Pada 9.08 pagi ini, indeks petunjuk FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 0.62 mata kepada 1,477.88 daripada paras penutup 1,477.26 yang dicatatkan semalam.

Indeks penanda aras itu dibuka menokok 0.37 mata kepada 1,476.89.

Pasaran secara meluas menyaksikan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 229 berbanding 152 manakala 326 kaunter lain tidak berubah; 1,513 tidak diniagakan dan 17 yang lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan sebanyak 405.90 juta unit bernilai RM117.61 juta.

Mengulas prestasi indeks utama itu, Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade, Thong Pak Leng, berkata FBM KLCI dilihat kembali rancak susulan kehadiran jumlah pembeli yang ketara.

"Indeks itu berjaya melangkaui paras 1,465 untuk ditutup pada 1,480 dan aliran peningkatan itu dijangka berterusan.

"Berikutan itu, kami menjangkakan indeks itu bergerak dalam julat 1,475 hingga 1,485 hari ini susulan aktiviti pembelian saham yang berterusan," katanya kepada BERNAMA.

Sementara itu, sentimen di Amerika Syarikat (AS) bercampur-campur ketika pelabur terus mengekalkan pendirian berhati-hati terhadap kemungkinan kadar faedah tinggi dan penilaian ekuiti AS yang berlanjutan.

Di Hong Kong, Indeks Hang Seng mencatat prestasi mendatar selepas harapan melihat Rizab Persekutuan AS menurunkan kadar faedah dalam masa terdekat sebaliknya semakin pudar.

Di pasaran minyak mentah, harga kekal kurang memberangsangkan berikutan aktiviti menambah inventori AS yang menyebabkan minyak mentah Brent merosot kepada AS$77 setong.

Bagi saham wajaran tinggi, YTL Corporation naik 4.0 sen kepada RM2.09; Tenaga turun 10 sen kepada RM10.32; QL Resources naik 6.0 sen kepada RM5.78; YTL Power International meraih 3.0 sen kepada RM3.03; IOI Corporation berkurangan 3.0 sen kepada RM3.97 dan MRDIY sebaliknya naik 1.0 sen pada RM1.45.

Saham aktif menyaksikan Luster Industries menambah 3.0 sen kepada 9.5 sen, Hong Seng Consolidated dan MQ Technology masing-masing meningkat setengah sen kepada 3.0 sen dan 3.0, manakala Minetech tidak berubah pada 21 sen.

Dalam pada itu di papan indeks pula, Indeks FBM ACE naik 11.98 mata kepada 5,399.87; Indeks FBM Emas meningkat 7.65 mata kepada 11,011.79 dan Indeks FBMT 100 naik 6.59 mata kepada 10,661.76.

Indeks FBM 70 menokok 17.92 mata kepada 14,893.83 namun Indeks FBM Emas Shariah susut 4.39 mata kepada 11,1163.30.

Bagi sektor pula, Indeks Hartanah meraih sebanyak 1.35 mata kepada 916.72; Indeks Tenaga naik 0.30 mata kepada 834.79 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menokok 0.01 mata kepada 177.11.

Indeks Perkhidmatan Kewangan meraih 16.07 mata kepada 16,481.27 namun Indeks Perladangan susut 14.23 mata kepada 7,023.34.

-BERNAMA

Berita Harian X